Pekebun minta harga lantai getah - Utusan Malaysia

Pekebun minta harga lantai getah

pekebun kecil getah terus mengharapkan kerajaan akan menetapkan harga lantai getah. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majoriti pekebun getah mahu kerajaan menetapkan harga lantai yang munasabah bagi memastikan komoditi itu terus stabil walaupun berlaku kejatuhan harga di pasaran dunia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MGM), Nor Hizwan Ahmad berkata, perkara itu disuarakan oleh pekebun hasil pertemuan pihaknya sebelum ini.

“Sebagai pihak yang banyak berinteraksi dengan pekebun kecil getah, MGM mendapati penetapan harga lantai menjadi idaman pekebun getah berikutan harga komoditi itu kurang stabil,’’ katanya mengulas keresahan pekebun akibat kejatuhan harga getah ketika ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan termasuk Lembaga Getah Malaysia dan MGM telah memperkenalkan dua skim dalam menangani isu harga komoditi itu.

Nor Hizwan memberitahu, skim pertama adalah Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang mana setakat hari ini kerajaan akan menanggung harga getah agar tidak turun lebih rendah daripada RM2.50.

Baja

Katanya, skim kedua adalah Insentif Pengeluaran Latex (IPL) yang mana Majlis Getah Malaysia memberi input pengeluaran latex dalam bentuk baja dan sebagainya sehingga RM850.

“Melalui skim IPL, jika setiap pekebun kecil getah mengeluarkan latex atau susu getah berbanding getah buku, kerajaan akan menambah RM1 bagi setiap kilogram yang dihasilkan.

“Pihak majlis sebenarnya mempunyai banyak lagi insentif walaupun tujuan utama penubuhannya adalah untuk melihat kepada pemasaran produk getah ke luar negara,” ujarnya.

Nor Hizwan berkata, bermula tahun 2020 Majlis Getah Malaysia turut memberi tumpuan kepada pekebun kecil getah yang pernah menjadi tonggak negara sebelum Malaysia bangkit dalam sektor ekonomi ketika ini.

Katanya, pelbagai insentif dan bantuan disediakan buat pekebun kecil termasuk di Kelantan melalui beberapa program termasuk pendidikan seperti memberi biasiswa untuk anak-anak pekebun kecil getah melanjutkan pengajian.

“Pihak majlis turut menjalankan beberapa program sebagai inisiatif meningkatkan ekonomi pekebun kecil getah termasuk melihat bagaimana kita dapat bantu produk-produk getah dipasarkan ke luar negara dalam konteks produk bernilai tinggi.

“Kita cuba bawa pembeli-pembeli yang menghasilkan produk bernilai tinggi ini untuk membeli getah pada harga premium. Itu merupakan antara inisiatif yang dapat dilakukan oleh majlis setakat ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN