"Dia dipukul dalam penjara, bahagian kepala ditumbuk, dicubit

Peguam dakwa anak perempuan Khalid Redza dipukul, dibuli dalam penjara

AKIF Rusli meneliti dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan pada prosiding sebutan semula kes bunuh melibatkan Khalid Redza dan anak perempuannya.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang gadis di bawah umur yang juga anak kepada Khalid Redza Shuib, 41, yang dituduh membunuh seorang kanak-kanak perempuan pada April lalu didakwa dibuli dan dipukul oleh rakan penjara wanita

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Akif Rusli yang mewakili gadis itu dan Khalid Redza pada prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Majistret di sini hari ini. 

Menurut Akif, gadis itu yang juga seorang pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) lembam memohon diasingkan daripada terus menjadi mangsa buli dan pukul oleh dua rakan penjara wanita tersebut. 

“Dia dipukul dalam penjara, bahagian kepala ditumbuk, dicubit di tangan, ditampar, dihentak kepala ke dinding oleh dua rakan penjara. Dia dibuli sebab OKU lembam. 

“Dia juga takut untuk memaklumkan kepada warden penjara kerana telah diugut,” katanya. 

Majistret, Syed Farid Syed Ali kemudian mencadangkan peguam membuat laporan polis bagi pihak anak guamnya dan merujuk kepada pegawai penyiasat. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi memaklumkan pihak pendakwaan bersedia menyerahkan dokumen mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan hari ini iaitu pertuduhan ke atas Khalid Redza yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35. 

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 Oktober depan untuk serahan dokumen.

Pada 13 April lalu, Khalid Redza dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan, 5, susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu. 

Khalid Redza turut didakwa membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29. 

Di Mahkamah Sesyen, Khalid Redza berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. 

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak, Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya