KULAI: Parti Bangsa Malaysia (PBM) belum mempunyai pelan sandaran sekiranya permohonan mereka menyertai Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ditolak.
Presiden Pengganti, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan mengenai hala tuju parti hanya akan diputuskan setelah perkara itu dimuktamadkan.
Beliau berkata, pada masa ini, PBM masih menunggu keputusan rasmi BN mengenai permohonan untuk menjalinkan kerjasama.
“Perkara ini kita masih menunggu (keputusan rasmi BN). Tiba masanya kita akan membuat keputusan bila perlu.
“Terlalu awal nak sebut (pelan sandaran sekiranya kerjasama dengan BN tidak berlaku). Perkara masih belum diputuskan,” katanya.
Beliau ditemui pada program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Bersama Sektor Huluan Agrikomoditi Koko dan Lada di Felda Inas, di sini hari ini.
Ogos lalu, media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat enam parti sudah memohon masuk BN.
Walau bagaimanapun, keputusan hanya akan dibuat pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Mengulas lanjut, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, tumpuan parti itu ketika ini adalah untuk memperkuatkan jentera parti bagi berdepan PRU15.
PBM berhasrat untuk bertanding di 14 kerusi termasuk kerusi yang disandang oleh wakil rakyat parti itu.
“Kita sudah mula membuat persiapan dengan melakukan jelajah di beberapa negeri antaranya Perak, Selangor dan Johor dengan memberi penekanan kepada kerusi tumpuan.
“Pada PRU15 ini, kita bercadang untuk bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh kerusi Parlimen,” ujarnya. – UTUSAN











