BATU PAHAT: Walaupun pernah hilang selama enam hari pada Ogos lalu, namun Painah Siwan, 79, tetap berhasrat untuk pergi lagi mencari daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi.
Namun, hasrat warga emas tersebut mungkin sukar kerana keinginannya dihalang oleh anak-anaknya.
Anaknya, Sadiah Mohari, 42, berkata, keadaan kesihatan ibunya itu juga tidak mengizinkan untuk bergerak cergas serta masih lemah.
Sepanjang 10 hari dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dengan menjalani rawatan terapi, namun ibunya tidak lagi aktif seperti sebelum kejadian yang menimpanya.
“Ibu juga kurang bercakap berbanding sebelum ini, keadaan ini berlaku mungkin disebabkan dia masih belum sihat sepenuhnya walaupun sudah lebih dua minggu tragedi itu berlaku.
“Walau bagaimanapun, dia ada juga berhasrat untuk pergi mencari daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi, namun kami sekeluaga tidak membenarkannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Sadiah, ibunya juga tidak bercerita apa-apa tentang apa yang berlaku sehingga menyebabkannya sesat selama enam hari sebelum dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat.
“Sekarang ini, kami mahu dia berehat dan tenangkan diri selain tidak perlu memikirkan apa-apa lagi khususnya tentang apa yang berlaku tempoh hari,” katanya.
Pada 10 Ogos lalu, Painah dilaporkan hilang ketika keluar ke belakang rumahnya untuk mencari daun kelapa sawit dibuat penyapu lidi.
Dia tidak pulang ke rumah hingga pukul 10 malam menyebabkan anak-anaknya membuat laporan di Balai Polis Senggarang dan warga emas berkenaan ditemukan selamat berhampiran lopak air di dalam kebun kelapa sawit pada pukul 11.25 pagi, 1.4 kilometer dari rumahnya selepas enam hari kemudian. –UTUSAN