PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen bersetuju sebulat suara memulakan prosiding berhubung perolehan kapal peronda luar pesisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, ada keperluan untuk APMM dan Kementerian Dalam Negeri memberikan penjelasan kepada Parlimen bagi memastikan rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku.
“Maka, adalah amat wajar untuk PAC mengadakan prosiding berhubung isu ini selaras dengan punca kuasa jawatankuasa ini di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.” katanya dalam kenyataan.
Katanya, PAC akan memanggil pihak kementerian dan APMM bagi memberikan penjelasan serta Kementerian Kewangan selain syarikat yang diberikan kontrak untuk membina kapal OPV ini.
“Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, PAC digesa untuk menyiasat projek pembinaan tiga kapal OPV kerana tertunda selama dua tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memberi ruang sepenuhnya kepada PAC untuk menyiasat isu kapal OPV malah bersikap terbuka dan langsung tidak menghalang PAC untuk menjalankan siasatan terhadap sebarang isu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som menjelaskan, tiga kapal OPV masih dalam pembinaan dengan kapal OPV 1 dijangka diserahkan kepada Maritim Malaysia awal tahun depan manakala OPV 2 dan OPV 3 diserahkan secara berperingkat. -UTUSAN










