Operasi kesan helikopter hilang tumpu di Hutan Simpan Chikus

Operasi kesan helikopter hilang tumpu di Hutan Simpan Chikus

MOHD YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Operasi mengesan helikopter jenis Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang setelah terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) tengah hari tadi, akan memfokuskan kepada pencarian di Hutan Simpan Chikus.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kawasan tersebut merupakan kali terakhir juruterbang menghubungi pusat kawalan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung esok itu akan menggunakan kaedah pencarian di udara dan darat.

“Disebabkan faktor cuaca dan masa yang tidak mengizinkan petang ini, kita akan sambung SAR pada pukul 8 pagi, esok.

“Kita akan beri tumpuan pada koordinat di Hutan Simpan Chikus dan kawasan berdasarkan maklumat orang ramai di Kampung Kenangan,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Bidor di sini hari ini.

Mohd. Yusri memberitahu, bunyi kuat helikopter terbang rendah dijadikan sebagai petunjuk pertama bagi mengesan pesawat dan mangsa.

Katanya, maklumat diterima daripada orang awam pada pukul 5.40 petang yang memaklumkan terdengar bunyi kuat helikopter terbang rendah di kawasan belakang rumah di Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan.

“Helikopter pendaftaran N409HH berwarna hitam milik syarikat swasta itu melibatkan seorang juruterbang tanpa penumpang.

“Setakat ini, identiti juruterbang itu masih belum dikenal pasti,” katanya.

Tambah beliau, seramai 11 pegawai dan 80 anggota membabitkan polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Udara, Bomba dan Jabatan Perhutanan Negeri digerakkan dalam operasi itu.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B, pendaftaran N409HH dikendalikan Heli Outpost Sdn Bhd. gagal dihubungi oleh KLATCC pukul 12.16 tengah hari tadi.

Helikopter dengan seorang juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan untuk mendarat pada 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya