SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduhnya mengambil kesempatan terhadap nyahwarta Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) seluas 406 hektar itu.
Tindakan demikian ditegaskan selepas terdapat ciapan daripada seorang pengguna Twitter yang mendakwa nyahwarta tersebut dibuat untuk beliau mencari dana politik bagi menghadapi pilihan raya.
Menerusi laporan sebuah portal, Amirudin dikatakan bercadang mengambil tindakan terhadap pengguna Twitter berkenaan yang melemparkan tuduhan.
“Bagi alamat bang. Saya nak saman kerana tuduh saya ambil duit daripada developer,” balasnya.
Bagaimanapun, carian pemberita dalam media sosial mendapati balasan tersebut beserta ciapan asal sudah dipadam oleh pengguna berkenaan.
Utusan Malaysia pada Isnin lalu melaporkan kawasan hutan simpan itu yang dinyahwarta sebanyak 22 kali sejak 1924 terus ‘digondolkan’.
Bagaimanapun, pada 11 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan kawasan seluas 406 hektar hutan itu yang menjadi pertikaian kekal diwartakan sementara menunggu cabaran undang-undang yang dikemukakan terhadap penyahwartaannya.
Mengulas lanjut Amirudin dalam akaun Twitternya berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan proses penyahwartaan – yang diluluskan pada 2000 – bagi mengelak kerajaan negeri daripada berdepan tindakan undang-undang.
Namun, Selangor meminta anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) supaya menghentikan pembangunan di situ kecuali projek-projek melibatkan kemudahan awam.
“Saya cuma ingin melindungi kepentingan negeri. Saya tak mahu ulang kesilapan pemimpin terdahulu, yang membebankan kerajaan negeri dengan tindakan undang-undang dan kita perlu bayar jumlah yang besar selepas kalah di mahkamah,” jelasnya.
Kata Amirudin, langkah membatalkan penyahwartaan yang dibuat pada 2000 akan menguntungkan syarikat pemaju kerana mereka dapat meraih pampasan besar.
“Dengan tarik balik keputusan (yang dibuat pada) 2000, ini akan untungkan developer yang dapat ganti rugi dengan saman termasuk kadar faedah setiap tahun sebagaimana banyak kes yang sedang dihadapi negeri ini,” ujarnya.- UTUSAN