SHAH ALAM: Pewartaan keluar sejumlah 406 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) menerusi terbitan warta pada Mei lalu berikutan kerajaan negeri enggan menanggung risiko disaman oleh syarikat pemilik atau pemaju.
Ini kerana pemberian tanah tersebut sudah diputuskan oleh kerajaan negeri sebelum ini menerusi keputusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sekali lagi menegaskan perwartaan sudah berlaku lama iaitu 22 tahun lalu yang MMKN sebelum Pakatan Harapan (PH) (Pakatan Rakyat ketika itu) mengambil alih Kerajaan Negeri Selangor.
“Jadi, kalau kerajaan negeri tidak meneruskan siar tersebut, kerajaan negeri akan bedepan dengan saman, sebab syarikat-syarikat tersebut akan kehilangan peluang perniagaan yang diluluskan oleh MMKN sebelum ini.
“Jadi, kalau kita tak siarkan, maknanya mereka tidak teruskan, tetapi sekarang ada kaveat dan sebagainya kita tengoklah prosesnya,” katanya selepas melancarkan Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor di hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan komitmen kerajaan negeri untuk menghentikan pembangunan atau memulangkan kawasan yang dimiliki anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kembali sebagai hutan simpan.
“Kalau ada, saya sedang minta syarikat-syarikat (kalau ada) tak silap saya ada PKNS, kita sedang mengarahkan untuk kita pulangkan balik atau tidak membangunkan kawasan itu kecuali untuk kemudahan awam seperti jalan raya yang menghubungkan Setia Alam dengan Persiaran Mokhtar Dahari.
“Malah, sudah ada perancangan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengekalkan tempat rekreasi dan sebagainya supaya tidak terganggu. Itu komitmen kita masih ada dan kita percaya boleh buat,” ujarnya. – UTUSAN







