KOTA BHARU: Nilai Ringgit Malaysia (RM) masih kukuh dan berada pada peringkat yang lebih baik meskipun mengalami kejatuhan berbanding mata wang negara lain termasuk mata wang Thailand iaitu Bhat dan dan Won untuk Korea Selatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kejatuhan yang berlaku ketika ini disebabkan oleh kenaikan nilai mata wang dollar Amerika Syarikat.
“Pencapaian kita adalah lebih baik secara relatifnya berbanding dengan beberapa mata wang di beberapa negara lain. Sebenarnya, tiada siapa yang boleh meramalkan kejatuhan nilai mata wang ini.
“Namun, kejatuhan itu berkaitan dengan tindakan agresif bank pusat di Amerika Syarikat yang menaikkan nilai faedah dollar Amerika Syarikat bagi mengukuhkan nilai mata wang itu dalam usaha mengatasi masalah inflasi,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Teratai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) Kota Darulnaim hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kerajaan meluluskan peruntukan untuk pembinaan Jambatan Muhibbah yang menghubungkan Malaysia dan Thailand.
Katanya, perbincangan hampir muktamad dan hanya menunggu untuk pelaksanaannya bagi pengukuhan hubungan dua hala antara negara.
“Apapun keputusannya kita berpandukan segala tindakan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan kita iaitu Perdana Menteri,”katanya. –UTUSAN










