GERIK: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu perseorangan yang ingin membantu mangsa banjir pada musim tengkujuh ekoran Monsun Timur Laut (MTL) agar memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid turut meminta kumpulan berkenaan agar tidak mengambil tindakan sendiri serta bergerak solo bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Mereka masuk ke kawasan-kawasan yang bukan biasa pada mereka kerana mereka datang dari luar dan ingin cuba membantu orang tempatan, namun, dia tidak tahu tentang topografi di kawasan yang terjejas banjir.
“Hal ini mungkin bertukar menjadi satu perkara yang merbahaya kepada mereka dan kita nak pastikan NGO dan badan amal ini apabila masuk zon merah mereka juga dilengkapi dengan peralatan keselamatan yang lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir melihat Latihan dan Persediaan Jabatan Menghadapi Fenomena Monsun Timur Laut (MTL) 2022 di Tasik Temenggor di sini,m hari ini.
Mohammad Hamdan berkata, mana-mana NGO dan individu persendirian yang berhasrat terlibat membantu mangsa banjir perlu memaklumkan serta mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diterajui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) atau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang diterajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Komandan dan JBPM selaku Timbalan Komandan.
Katanya, ini penting bagi tujuan penyelarasan terutamanya berhubung agihan tugas selain menjamin keselamatan pihak berkenaan serta membekalkan mereka dengan peralatan menyelamat yang sesuai termasuk alat keselamatan dan pencahayaan di waktu gelap.
“Kita mahukan koordinasi kerana tidak mahu keanggotaan menyelamat terlalu ramai di sesuatu kawasan tumpuan lalu tertinggal atau melupakan kawasan terpencil selainnya seperti kes yang pernah terjadi di Kuala Krai, Kelantan pada suatu ketika.
“Perkara ini sebenarnya berkaitan dengan ‘common sense’ iaitu kalau kita masuk rumah orang, kena bagi salam dan begitu juga bila ingin pulang perlu maklumkan tuan rumah. Paling kurang kita tahu pergerakan mereka,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, JBPM telah mengenal pasti 186 kawasan ‘hotspot’ kepala air seluruh negara dengan dengan Sabah menjadi negeri tertinggi mencatatkan kawasan berisiko itu sebanyak 52 kawasan, diikuti Kedah sebanyak 24 kawasan.
JBPM juga turut mengenal pasti sebanyak 5,496 kawasan hotspot berisiko banjir seluruh negara dengan Sarawak mencatatkan kawasan paling banyak berisko banjir iaitu 1,034 lokasi. – UTUSAN