MACHANG: Seorang nenek dari Kampung Limau Nipis, Bukit Bakar, di sini, tabah menjaga dan mengurus cucunya yang hilang upaya untuk bergerak selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya bulan lalu.
Zainab Mat Jusof, 61, berkata, meskipun ‘kudratnya’ tidak segagah sebelum ini ekoran masalah kesihatan, namun, dia nekad menjaga Anies Karmila Abdullah, 21, sehingga ke nafas yang terakhir berikutan kedua-dua ibu bapa cucunya itu sudah meninggal dunia.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan Anies Karmila tidak sedarkan diri selama tiga hari akibat kecederaan parah di bahagian tulang rusuk, tulang belakang, paru-paru bocor serta kerosakan saraf tangan kanan.
“Oleh kerana ketiadaan wang, Anies terpaksa ditahan di wad Hospital Putrajaya selama 38 hari untuk menjalani pembedahan memasukkan besi dan skru di bahagian tulang belakangnya.
“Saya bersyukur, walaupun terpaksa menunggu lama, namun, pembedahan berkenaan dapat dilakukan dengan bantuan daripada Zakat Selangor yang menampung keseluruhan kos pembedahan sebanyak RM29,200,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan daripada Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan bantuan wang tunai di sini, hari ini.
Zainab memberitahu, Anies Karmila mungkin perlu menjalani pembedahan susulan memandangkan urat saraf tangan kanannya tidak berfungsi dengan baik.
Katanya, rawatan susulan dengan pakar akan dirujuk di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) bulan hadapan dan apa-apa keputusan akan dimaklumkan oleh pihak hospital.
“Saya sedih melihat keadaan Anies Karmila sekarang ini yang tidak mampu menguruskan diri sendiri selain terpaksa memakai lampin pakai buang.
“Bagaimanapun, selagi hayat dikandung badan, mak cik akan terus menguruskannya, biar sukar macam mana sekali pun,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB Bank atas nama Anies Karmila Abdullah (7076267658) atau menghubungi talian 01112926045. –UTUSAN