Najib tidak ceria, muka seperti udang kena bakar - Shafee - Utusan Malaysia

Najib tidak ceria, muka seperti udang kena bakar – Shafee

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak ceria seperti sebelum  dirujukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan bagi masalah tekanan darah tingginya.

Peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut menyatakan Ahli Parlimen Pekan itu juga kelihatan tidak selesa.

“Beliau tidak kelihatan seperti biasa, tidak ceria seperti selalu. Beliau tak pucat tetapi (riak wajahnya) lebih kepada tidak selesa.

“Isnin lalu, keadaan lebih teruk. Mukanya merah seperti udang kena bakar,”katanya ketika ditemui media selepas tamat prosiding sebutan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Najib, 69, yang sedang menjalani hukuman penjara sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.