“Jangan nanti tabuh berbunyi, baru keris mahu diasap, baru tahu

[Muktamar Pas] Pemuda Pas mahu segera muktamadkan pembahagian kerusi

SEBAHAGIAN perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara yang hadir ke Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di Alor Setar hari ini. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemuda Pas meminta pucuk pimpinan parti di semua peringkat memuktamadkan pembahagian kerusi dengan segera sebagai usaha menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, satu panduan yang jelas dan segera perlu diturunkan kepada jentera, bersama pengarahan taktikal berstrategi untuk menghadapi pilihan raya itu.

AHMAD Fadhli Shaari berucap ketika Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di Alor Setar hari ini. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

“Dengan pilihan raya umum yang sudah sangat hampir, Pas sudah tentu perlu memuktamadkan soal pembahagian kerusi dan penentuan calon. Biar jelas siapa yang boleh dihadap, siapa yang boleh dibuat kawan. 

“Jangan nanti tabuh berbunyi, baru keris mahu diasap, baru tanjak mahu dicari. Gelanggang sudah lama ditari oleh musuh, rentak dan gendang sudah lama beraksi, anak muda kita sedang menunggu arahan pimpinan, sebarang isyarat dan arahan, akan kami junjung atas batu jemala kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di sini hari ini.

Tambah Ahmad Fadhli, muktamar tersebut berkemungkinan merupakan yang terakhir sebelum menghadapi PRU15, justeru, jentera parti belum dipersiapkan segera.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun pada PRU kali ini juga sangat mengujakan Pemuda Pas apabila ia turut mengakibatkan peningkatan jumlah pengundi baharu sebanyak 8.5 juta berbanding PRU14.

“Pengundi baharu yang terdiri daripada anak-anak muda semestinya akan memberi keputusan yang signifikan dalam menentukan kepemimpinan kerajaan pasca PRU15. Berdasarkan kajian persepsi dan tingkah laku anak muda, majoriti anak muda menyedari tanggungjawab mereka sebagai rakyat untuk memastikan pemilihan kepemimpinan baharu kerajaan yang terbaik.

“Lebih daripada 85 peratus responden anak muda sangat teruja untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang walaupun hampir sebahagian besar dari mereka tidak berminat membincangkan isu-isu politik. Mereka ini adalah pembaca senyap dan pemerhati senyap,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, Pemuda Pas perlu berusaha keras mendekati anak muda yang disifatkan pengundi atas pagar ekoran sebanyak 40 peratus daripada mereka masih belum menetapkan  pendirian politik masing-masing.

“Kita perlu giatkan ikatan, dengar pandangan mereka dan pastikan mereka memperoleh informasi yang benar dan tepat.

“Laporan daripada Digital 2022 menyatakan, WhatsApp, Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter adalah lima platform media sosial utama rakyat di Malaysia yang wajib dikuasai oleh Pemuda Pas untuk menyampaikan dakwah dan naratif positif parti,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN