Muhyiddin dinasihat tidak menuding jari - Utusan Malaysia

Muhyiddin dinasihat tidak menuding jari

Mohamed Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering menuding jari jelas sekali memperlihatkan kelemahan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu kerana hanya mampu menyalahkan orang lain di atas kelemahan cadangan dan hasil kerjanya sendiri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun Muhyiddin berhak memberikan pandangan, namun, beliau kini dilihat seolah-olah lupa bahawa sebahagian besar masalah kerajaan hadapi kini adalah diwarisi daripada pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Jadi, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan. Saya percaya Perdana Menteri dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberikan yang terbaik bagi berdepan dengan segala masalah negara.

“Beliau berhak mengemukakan segala pandangan terhadap kerajaan. Terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya…dan kerajaan mempunyai pelbagai aspek yang harus diambil kira. Hanya kerana cadangan tersebut datang daripada MPN, maka tidak semestinya dilaksanakan secara automatik.

“Beliau harus bertindak dalam semangat kolektif. Beliau adalah sebahagian daripada kerajaan. Sikap menuding jari ini jelas menunjukkan beliau hanya mampu menyalahkan orang lain atas kelemahan cadangan dan hasil kerjanya,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Semalam Muhyiddin mengakui pihaknya kecewa dengan kerajaan kerana lambat melaksanakan beberapa cadangan penting membabitkan usaha pemulihan ekonomi negara.

Beliau menjelaskan MPN sudah mengemukakan 95 saranan untuk dipertimbangkan kerajaan dengan 69 daripadanya membabitkan isu sosio-ekonomi dan 26 berkaitan tadbir urus.

Muhyiddin berkata, daripada 86 saranan yang diluluskan, hanya 16 saranan dilaksanakan sepenuhnya, 30 sedang dalam proses pelaksanaan, manakala 14 masih belum dilaksanakan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN