Melaka teroka potensi pelancong dari selatan India - Utusan Malaysia

Melaka teroka potensi pelancong dari selatan India

MUHAMMAD JAILANI Khamis (kanan) mendengar penerangan daripada salah seorang pempamer pada Festival Pengantin AEON 2022 di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kemasukan pelancong dari selatan India pada masa depan dijangka mampu mengelakkan kebergantungan Melaka kepada pengembara dari China.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, selatan India terdiri dari beberapa negeri seperti Kerala dan Tamil Nadu termasuk negara Sri Lanka mempunyai populasi sekitar 600 juta penduduk.

Menurut beliau, kira-kira 60 peratus daripada jumlah itu adalah golongan pertengahan dan atasan yang mana mereka mempunyai kuasa beli yang besar.

“Kalau kita sasarkan 10 peratus pun sudah memadai untuk memberi manfaat kepada Melaka dan Malaysia secara keseluruhannya. Ini merupakan potensi  baik kepada pelancongan negeri.

“Di sana ada plaza beli-belah yang sangat besar di Kochi dengan pelbagai kedai jenama terkemuka antarabangsa dibuka. Kita juga merancang agar ada penerbangan terus dari Kochi atau Madhya Pradesh ke Melaka. 

“Kekangan kita adalah kuota penerbangan antara negara yang banyak didominasi Singapura. Kita dalam proses perbincangan dan jika dapat tembusi pasaran selatan India maka kemungkinan besar Melaka akan jadi hab pintu kemasukan pelancong India ke Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar sempena Festival Pengantin AEON 2022 di sini, hari ini.

Bercadang

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri bercadang untuk menambah penerbangan dari negara-negara lain untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini termasuk China dan India.

Dalam pada itu, mengenai pemulihan sektor pelancongan Melaka, Muhammad Jailani memberitahu, buat masa ini ia berada pada tahap 70 peratus.

Jelasnya, masih ada 30 peratus lagi yang perlu dicapai memandangkan Melaka sebelum ini banyak bergantung kepada kemasukan pelancong dari China.

“Kita ambil langkah bersama apabila saya bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar pergi ke Kochi untuk meneroka pasaran di sana. 

“Pada masa sama, saya menerima kunjungan menteri dari China dan dimaklumkan bahawa negara itu mungkin membuka sempadannya menjelang Februari tahun depan. Bersama China dan pasaran baharu di India, ada kemungkinan saya akan adakan kempen Visit Melaka pada 2023,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN