Manfaat hubungan baik dengan Persekutuan untuk pembangunan

Manfaat hubungan baik dengan Persekutuan untuk pembangunan Sabah

HAJIJI Noor (dua kiri) bersama Tun Juhar Mahiruddin (tengah) dan Bung Moktar Radin (kiri) memotong kek sebagai simbolik perasmian sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memanfaatkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan bagi membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membawa pembangunan di Sabah.

Justeru, isu berkaitan hak dan kepentingan negeri ini akan terus dibincangkan melalui hubungan kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan atas semangat Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited meneruskan usaha menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat Keluarga Malaysia.

“Malah, dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 8 September lalu, saya telah mengulangi bahawa Sabah akan terus menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih Sabah sendiri yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan, seperti yang ditetapkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri di Padang Merdeka, semalam.

Menurutnya, Sabah telah melangkah sejauh ini sejak pengisytiharan bersejarah pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

“Walaupun masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan dibawah semangat MA63, Sabah akan terus menuntut apa yang patut, supaya kita juga akan menikmati hasil pembangunan sebagai rakan kongsi kepada negara tercinta ini.

“Sesungguhnya, kita ingin melihat erti sebenar Keluarga Malaysia diterjemahkan menerusi konteks kesaksamaan dalam usaha membangunkan negara,” katanya.

Menurut beliau, di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah merekodkan pelaburan asing berjumlah RM9.9 bilion bagi tempoh Januari hingga September, sekali gus meletakkan Sabah sebagai penerima pelaburan asing ketiga terbesar di Malaysia.

Justeru, kerajaan akan memastikan Sabah terus menjadi negeri mesra pelabur di samping, mengurangkan semua halangan bagi memudahkan pelaburan. 

Kerajaan akan mengekalkan momentum ini bagi memastikan Sabah terus menjadi destinasi menarik bagi pelabur asing.

Mengulas lanjut katanya, walaupun sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan diadakan di Melaka, namun Sabah tidak terkecuali meraikan sambutan ini secara sederhana tetapi meriah.

Jelas beliau, 16 September merupakan tarikh yang amat bersejarah kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memperingati penubuhan Malaysia jadi, semua rakyat harus bersama-sama mempertahankan keamanan dan perpaduan yang dikecapi ini.

Dalam majlis tersebut, penghargaan turut diberikan kepada empat atlet yang meraih pingat emas dalam Kejohanan Pancak Silat Dunia 2022 iaitu Sazzlan Yuga, Nor Farah Mazlan, Luqman Laji dan Merrywati Manuil.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan anggota jemaah Kabinet Negeri yang lain. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya