PUTRAJAYA: Malaysia menentang pencabulan undang-undang antarabangsa, termasuk prinsip kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara.
Menegaskan perkara itu di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berdasarkan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta undang-undang antarabangsa yang menetapkan had sesebuah negara dalam mengejar kepentingan diri sendiri.
Dalam hal itu, Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan antarabangsa kerana langkah sedemikian bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog.
“Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa wujud untuk mengalakkan penyelesaian damai bagi pertikaian antara negara. Apabila tercetusnya konflik, semua pihak bertanggungjawab meredakan ketegangan dan memberi keutamaan kepada keselamatan dan nyawa orang awam.
“Pada masa sama, pihak yang bertelagah perlu kembali ke meja perundingan untuk menghentikan konflik secepat mungkin,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan kenyataan Malaysia dalam Bahasa Melayu dalam Sesi ke-77 itu bertemakan ‘Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’ di New York, hari ini.
Perdana Menteri turut mengulangi ketegasan agar semua negara terutamanya kuasa-kuasa besar supaya mengelak daripada mewujudkan blok pengasingan yang hanya mendorong dunia ke kancah perang dingin.
Tegasnya, dunia perlu sedar keamanan hanya boleh dicapai melalui dialog dan rundingan dan ia dibuktikan dengan situasi yang dialami Ukraine apabila kesannya bukan sahaja dideritai rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia.
“Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan.
“Malaysia mengalu-alukan perwujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine. Ini merupakan satu langkah positif dalam menangani masalah sekuriti makanan,” katanya.
Bagi Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT), Malaysia kecewa dengan pendudukan secara kejam oleh Israel yang berlarutan sejak sekian lama dan rakyat Palestin terus hidup dalam belenggu dasar-dasar diskriminasi Israel.
Tegas Perdana Menteri, penempatan haram semakin berleluasa dan ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Resolusi 2334 Majlis Keselamatan mengakibatkan hak paling asas rakyat Palestin terus dinafikan.
Justeru, Malaysia berpandangan kuasa-kuasa besar perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan isu kekejaman dihadapi rakyat Palestin dan pendirian tegas itu harus diambil PBB bagi memastikan krisis berlarutan di bumi Palestin sejak sekian lama dapat diselesaikan segera.
“Apa yang berlaku hari ini, kebanyakan negara begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine. Malaysia mahu tindakan sama diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin. Israel perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid!” tegas beliau.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut menyuarakan pandangan bahawa negara tidak boleh mengabaikan krisis lain yang berlaku di seluruh dunia walaupun masih diancam konflik antara negara.
Tunjang kekuatan kepada dunia yang bebas konflik ialah hidup bersama dalam budaya damai dan Malaysia, sebagai sebuah negara berbilang kaum, budaya dan agama, sentiasa menyokong padu dan memperjuangkan konsep kewujudan bersama yang aman antara pelbagai bangsa, kepercayaan dan budaya. –UTUSAN