PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan perlu menjunjung kedaulatan watan dalam mengendalikan sesuatu kes perundangan supaya tidak timbul persepsi negatif terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, penerimaan Doktrin Struktur Asas (BSD) dari luar tidak boleh diimport secara bebas oleh badan kehakiman negara ini.
Katanya, ini kerana prinsip menjunjung kedaulatan watan itu termaktub dalam Perkara 181(1) dan mempunyai tadbir urus dalam penerimaan prinsip undang-undang am, kaedah ekuiti dan statut dari luar berlandaskan Akta Undang-undang Sivil 1956 (semakan 1972).
“BSD tidak boleh dianggap sebagai undang-undang ciptaan hakim mahkamah, tetapi struktur asas berkenaan hanyalah kaedah pentafsiran undang-undang Perlembagaan yang tertakluk pada prinsip kedaulatan dan keadaan watan yang diperuntukkan oleh Akta Undang-undang Sivil tadi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jelas Wan Ahmad Fauzi, pentafsiran Perkara 121(1A) secara bebas tanpa rujukan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk memelihara keluhuran Pperlembagaan, dilihat punca kepada penentangan terhadap BSD secara rambang.
Beliau berkata, pindaan yang memasukkan peruntukan Perlembagaan 121(1A) perlu dibaca bersama dengan kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Persekutuan menurut Perkara 128 dan 4.
Katanya, ini kerana peruntukan Perlembagaan hendaklah dilihat secara keseluruhan dan tidak boleh diambil satu persatu kerana ada peruntukan itu saling berkait satu sama lain.
“Sebenarnya, perlu dibezakan antara BSD dari India dengan struktur asas yang diberikan takrifan oleh Mahkamah Persekutuan yang mensyaratkan suatu peruntukan Perlembagaan hendaklah ditafsirkan dengan merujuk kepada struktur Perlembagaan secara keseluruhan yang saling berkait satu sama lain.
“Kalau Mahkamah Persekutuan tak boleh buat semakan kehakiman disebabkan Perkara 121 (1A), bagaimana mahkamah boleh menentukan sama ada suatu pertikaian itu jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah begitu juga halnya apabila Dewan Perundangan Negeri memberi bidangkuasa hukuman yang melanggar batas Akta 355?.
“Contohnya Mahkamah Syariah melaksanakan hukuman sebat 100 kali berdasarkan pindaan kepada peruntukan enakmen kesalahan Mahkamah Syariah tanpa pindaan batasan hukuman sebat sedia ada, siapa yang boleh semak tindakan sedemikian bagi memelihara prinsip keluhuran Perlembagaan?.
“Jadi (melalui Perkara 128) Mahkamah Persekutuan masih ada kuasa untuk memelihara prinsip keluhuran Perlembagaan agar tiada pihak membuat tindakan bercanggah dengan undang-undang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Perkara 128 memberikan kuasa hanya kepada Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan soal sama ada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan sesuatu
Negeri adalah tiada sah kerana melanggar batas bidangkuasa masing-masing, dan pertikaian atas apa-apa soal lain antara Negeri dengan Negeri atau Persekutuan.
Perkara 4 pula adalah peruntukan yang menetapkan ketinggian Perlembagaan Persekutuan serta kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Persekutuan dengan kedua-dua peruntukan tersebut dikenali sebagai doktrin ultra vires.
Sehubungan itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, usaha pemerkasaan undang-undang syariah dan prinsip perundangan Islam tidak wajar disempitkan dengan isu bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Jelas beliau, tindakan menolak BSD sekali gus kewujudan struktur asas dalam Perlembagaan Persekutuan secara bulat-bulat bukanlah jawapan kepada keputusan kes yang melibatkan pertikaian bidang kuasa antara Mahkamah Kehakiman Persekutuan dengan Mahkamah Syariah.
Katanya, ini kerana elemen struktur asas jika disandarkan pada prinsip kedaulatan dan keadaan watan (tempatan) akan lebih memberi keadilan kepada orang Islam dan warganegara Malaysia secara keseluruhannya kerana setiap pihak perlu menjunjung kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan mendapati sijil mualaf telah dikeluarkan kepada tiga orang anak perayu tanpa memenuhi tatacara mengikut kehendak Seksyen 96 dan 106(b) enakmen negeri Perak.
“Oleh itu Mahkamah Persekutuan berpandukan kepada peruntukan enakmen yang ada, dengan membuat pemerhatian ke atas undang-undang persekutuan yang lain dan tafsiran ‘parent’ yang termaktub dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan memutuskan mereka mempunyai ‘supervisory power’ untuk mendengar aduan perayu.
“Mahkamah juga menyatakan keputusannya berlandaskan isu pentadbiran dan tidak memerlukannya untuk menyentuh prinsip undang-undang syariah dan doktrin undang-undang.
“Jadi isu struktur asas di sini hanyalah penegasan Mahkamah tentang kuasa semakan kehakiman yang diberikan kepadanya oleh undang-undang kerana menunjukkan Mahkamah masih perlu berlandaskan pada Perlembagaan dan undang-undang tempatan. –UTUSAN











