MELAKA: Sepasang mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) masing-masing berusia 19 tahun dicekup berkhalwat di sebuah hotel bajet di Bukit Beruang di sini dalam serbuan Ambang Merdeka, semalam.
Ketika ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira pukul 12.30 tengah malam, si lelaki memberikan alasan kononnya penat bermain futsal lantas menyebabkan mereka menginap di hotel berkenaan.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen menunjukkan hubungan mahram atau suami isteri.
“Hasil soal siasat, pemuda itu memberikan alasan dia menginap di hotel itu selepas penat bermain futsal sambil menemani kekasihnya menyelesaikan tugasan universiti.
“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati tiada pakaian sukan ditemukan di dalam beg pakaiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Che Sukri, dalam serbuan kedua di sebuah hotel bajet di Bachang, sepasang lagi kekasih ditahan kira-kira pukul 2.45 pagi.
“Pasangan kekasih berusia 25 dan 22 tahun itu memberitahu mereka hanya berehat di hotel tersebut kerana penat dan tidak larat untuk pulang ke rumah.
“Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati lelaki tersebut hanya tinggal di sekitar Cheng, manakala teman wanitanya menetap di Jasin,” ujarnya.
Jelasnya, kedua-dua pasangan ditahan dan dibawa ke Pejabat JAIM di Bukit Palah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
Sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. –UTUSAN