KANGAR: Kementerian Pengangkutan mengenal pasti lokasi pembinaan terminal feri baharu ke Pulau Langkawi sebagai perancangan jangka panjang bagi menyelesaikan isu mendapan sehingga menyebabkan perkhidmatan feri di Kuala Perlis dan Kedah terjejas.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, lokasi terminal feri sedia ada di Kuala Perlis dan Kuala Kedah ketika ini terdedah kepada masalah mendapan dan kerja-kerja pengerukan yang dilakukan hanya bersifat sementara.
Menurut beliau, setiap dua tahun, sebanyak RM50 juta dibelanjakan untuk kerja-kerja pengerukan bagi memastikan pengoperasian feri di dua jeti berkenaan tidak terjejas dan ia bukan penyelesaian jangka panjang.
“Institut Maritim Malaysia (MIMA), sebuah badan di bawah Kementerian Pengangkutan telah mengkaji tentang kawasan bersesuaian untuk pembinaan jeti baharu itu yang terletak antara Perlis-Kedah dan tidak terdedah kepada masalah mendapan.
“Lokasi baharu itu sudah ada tapi kita tak mahu umum lagi kerana ada beberapa perkara lain yang perlu dilihat secara lebih teliti ,” katanya selepas Mesyuarat Tahunan MCA peringkat negeri ini di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia beberapa kali melaporkan insiden feri dari terminal Kuala Perlis yang kerap terkandas berikutan air alur pelayaran surut di bawah paras 1.6 meter.
Mengulas mengenai kontrak pengerukan di Terminal Feri Kuala Perlis, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, pelaksanaan kerja-kerja itu berjalan sedikit lewat dan ia dijangka siap sekitar tahun hadapan.
“Kelewatan yang berlaku itu adalah disebabkan oleh pihak kontraktor berdepan masalah kekurangan peralatan dan pekerja bagi melaksanakan kerja-kerja pengerukan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk memantau pelaksanaan kerja-kerja pengerukan di terminal Kuala Perlis bagi memastikan perkhidmatan feri penumpang ke Pulau Langkawi tidak terjejas. – UTUSAN