Lebih 20,000 mahasiswa sedia hadapi Monsun Timur Laut -

Lebih 20,000 mahasiswa sedia hadapi Monsun Timur Laut

NORAINI Ahmad memakaikan jaket kepada salah seorang pelajar sambil diperhatikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selepas pelancaran Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan lebih 20,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menyertai Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin yang dilancarkan di sini malam tadi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sasaran tersebut dijangka mencapai matlamat selepas para pelajar kembali ke kampus untuk membantu kesiapsiagaan menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut, November ini.

Menurutnya, tahun lalu KPT berjaya mengumpul 20,000 sukarelawan IPT walaupun ketika itu majoriti pelajar tidak berada di kampus kerana menghadiri kuliah secara pembelajaran dan pengajaran (PdP) dalam talian.

“Bagi tahun ini, saya mengharapkan lebih ramai sukarelawan dalam kalangan pelajar IPT dapat menyertai Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin.

“Jika tahun lalu adalah seramai 20,000 orang dan tahun ini saya jangkakan lebih daripada itu, kerana pelajar sudah kembali ke kampus.

“Penyertaan mereka amat penting untuk memberi bantuan sewaktu bencana, selain itu juga, ia dapat mendidik pelajar agar prihatin kepada masyarakat dan menghulur bakti kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program KPT Prihatin-Tuah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Sejahtera di Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Tambah Noraini, Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin yang dilancarkan itu akan diselaraskan dengan program sukarelawan dikendalikan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia agar lebih teratur.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat semalam, pihaknya telah menerima kira-kira 292,777 permohonan Peranti Siswa Keluarga Malaysia.

“Jadi, kepada para pelajar yang belum memohon, kita masih buka permohonan untuk fasa kedua sehingga 30 September 2022 ini. Tinggal beberapa hari sahaja lagi. Cepat-cepatlah memohon,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN