Komitmen AS$100 bilion tanpa syarat, bantu negara membangun

Komitmen AS$100 bilion tanpa syarat, bantu negara membangun tangani kesan perubahan iklim

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan kenyataan Malaysia dalam bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung PBB Sesi Ke-77 di New York.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Negara maju harus memikul tanggungjawab meningkatkan bantuan kepada negara membangun dalam usaha mitigasi dan adaptasi akibat kesan perubahan iklim dengan memenuhi komitmen menyediakan peruntukan AS$100 bilion setahun tanpa syarat. 

Menegaskan perkara itu di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini dapat merealisasikan tindakan terhadap perubahan iklim yang sepatutnya dilaksanakan sejak tahun 2020.

“Perubahan iklim merupakan masalah sejagat melibatkan kita semua. Pada tahun lepas sahaja, Malaysia dilanda banjir paling serius dalam sejarah mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah AS$1.4 bilion (RM6.1 bilion). 

“Ramai terkorban dan hampir 100,000 lagi terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di beberapa negara lain. Jelas sekali, langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perlu diteruskan,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan kenyataan Malaysia dalam Bahasa Melayu dalam Sesi ke-77 itu bertemakan  ‘Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’ di New York, hari ini.

Sebagai mewakili negara membangun, Malaysia menegaskan pelaksanaan dan kejayaan pembangunan sosioekonomi lebih hijau dan mapan akan dicapai dengan sahutan janji yang saksama dan inklusif selepas usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) terencat akibat Covid-19.

Hakikatnya, kata Ismail Sabri, teknologi baharu menjadi penggalak kepada sesebuah negara untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, namun, teknologi baharu ini perlulah bersifat mampu milik negara-negara membangun. 

Dalam hal ini, Malaysia komited dalam menjalankan tanggungjawab dan peranannya bagi memastikan pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar dan pelbagai langkah dilaksanakan seperti memperkenalkan standard Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) untuk industri sawit, mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 dan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dilaksanakan bagi meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga.

“Malaysia bersetuju menubuhkan Pusat SDG Negara bagi mempergiatkan program dan memantau kemajuan SDG.

“Semasa Sidang Kemuncak Bumi pada 1992, Malaysia berikrar mempertahankan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada hutannya. Selepas tiga dekad, hari ini Malaysia masih mempunyai 54 peratus kawasan hutan di seluruh negara. Peratusan ini akan bertambah berikutan langkah penghutanan semula yang agresif oleh Malaysia,” katanya.  

Bukan sahaja Malaysia, bahkan dunia perlu peka terhadap usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mapan 2030 sekali gus mengalu-alukan penganjuran Forum Politik Peringkat Tinggi berkaitan Pembangunan Mapan (HLPF) pada tahun hadapan. 

Kata Perdana Menteri, usaha ini tepat pada masanya kerana ia memberi peluang melihat semula apa yang dicapai dan apa yang boleh ditambah baik demi kebaikan Keluarga Dunia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya