KJ lawan Anthony Loke?

KJ lawan Anthony Loke?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Rembau selepas sudah 20 tahun berbakti di kawasan itu untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan, Khairy Jamaluddin dipelawa untuk bertanding di Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, pelawaan itu dibuat selepas Khairy berkata akan mencari kawasan lain yang mahukan beliau tetapi sehingga kini masih belum dipastikan lagi kawasan mana yang akan ditandinginya.

Sehubungan itu, katanya, kepemimpinan tertinggi UMNO diharap dapat melihat cada­ngan berkenaan sekali gus mereali­sasikan hasrat UMNO untuk bertanding di Parlimen Seremban pada PRU15.

“Saya amat berharap serta mengalu-alukan Khairy untuk bertanding di Parlimen Seremban memandangkan bilangan pengundi muda dan Melayu di sini yang semakin bertambah.

“Pucuk pimpinan parti diharap dapat merealisasikan impian UMNO untuk bertanding di Parlimen Seremban dengan memberi laluan kepada Khairy sebagai calon,” katanya di sini semalam.

Zool Amali berkata, hasrat supaya Khairy bertanding di Se­remban sudah dinyatakannya berulang kali sama ada di pering­kat akar umbi mahupun kepada pucuk pimpinan parti.

“Kita semua tahu bahawa Rembau akan diberikan kepada Tok Mat (Mohamad). Bagi saya Tok Mat dan Khairy adalah pe­mimpin tersohor dilahirkan UMNO.

“Amat rugi jika Khairy tidak bertanding pada PRU15, dan saya harap impian UMNO untuk bertanding di Seremban dapat tercapai sekali gus mampu memberikan satu kerusi untuk BN dalam membentuk kerajaan kelak,” katanya lagi.

Khairy dalam satu program di ibu negara semalam berkata, beliau tiada masalah memberi laluan kepada Mohamad tetapi tidak mahu sesuka hati menceroboh kawasan orang lain.

“Tidak pernah terfikir untuk bertanding di kawasan lain, namun sekarang saya akan berusaha jika terdapat kawasan yang mahukan saya,” katanya.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu juga akur, sekiranya nama­nya tidak dicalonkan UMNO untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 akan datang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, kerusi Parlimen Se­remban dimenangi oleh Anthony Loke Siew Fook dari DAP dengan majoriti sebanyak 30,694 undi. Siew Fook kini merupakan Setiausaha Agung DAP.

BN di kerusi Parlimen Seremban secara tradisinya ditandingi oleh MCA namun parti itu tewas sejak 2008. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya