DENGKIL: Berada di kawasan sesak, waktu menunggu yang lama dan tempat letak kenderaan tidak mencukupi.
Itu akui Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Dengkil di Jalan Besar, di sini, hari ini.
Justeru, Khairy berkata, beliau meluluskan segera peruntukan untuk memperbesarkan bangunan untuk klinik ibu dan anak serta beberapa kemudahan lain termasuk mesin ultrasound dan biochem.
“Banyak pelaburan diperlukan untuk meningkatkan khidmat kesihatan primer.
“Saya setuju Dengkil perlu ada klinik kesihatan yang baharu. Namun, tambah baik bangunan sedia ada cuma penyelesaian jangka pendek. Klinik kesihatan baharu akan dimohon jua,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, beliau juga memaklumkan ada berita baik bagi warga Cyberjaya dalam tempoh seminggu dua lagi dipercayai ada kaitan dengan operasi Hospital Cyberjaya.
Menerusi gambar yang dikongsi pada hantaran sama, Khairy kelihatan turut beramah mesra dengan orang ramai yang berada di klinik berkenaan.
Sebelum ini, Khairy turut melakukan lawatan mengejut ke beberapa klinik kesihatan lain di seluruh negara bagi meninjau sendiri keadaan sebenar fasiliti itu. –UTUSAN










