fbpx

Kerajaan Terengganu siasat aktiviti perlombongan bijih besi  

SALAH satu kawasan aktiviti perlombongan bijih besi yang terdapat di Bukit Besi, Dungun, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Dungun dekat sini berisiko memusnahkan peninggalan artifak berharga negara di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu kerana semua artifak bersejarah berkaitan aktiviti perlombongan bijih besi adalah daya tarikan pelancongan utama di daerah itu.

Menurutnya, beliau juga telah mengarahkan beberapa jabatan dan agensi berkaitan untuk buat siasatan awal dan sehingga kini pihaknya masih menunggu laporan tersebut.

“Saya sendiri akan turun padang ke kawasan Bukit Besi dalam masa terdekat untuk melihat sendiri sejauh mana kesan aktiviti perlombongan itu boleh memusnahkan tinggalan artifak-artifak bersejarah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan tajaan Cabaran Mendaki Gunung Tebu 2022 (MTCC 2022) di sini, semalam.

Utusan Malaysia pada 27 September lalu melaporkan kebimbangan Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun mengenai risiko musnahnya semua artifak berharga tersebut sekiranya aktiviti perlombongan itu masih dibiarkan tanpa pemantauan ketat pihak bertanggungjawab.

Setakat ini, kira-kira lima terowong kereta api yang dibina sejak tahun 1930 lenyap setelah pembukaan semula aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan itu pada tahun 2010.

Terowong kereta api itu dibina oleh syarikat perlombongan dari Jepun, Kuhara Mining Limited untuk kerja-kerja mengangkut bijih besi ke tempat memproses bahan galian itu yang terdapat di kawasan tersebut sebelum dieksport ke beberapa buah negara luar.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata kerajaan negeri serius dalam usaha konservasi dan pemuliharaan apa sahaja tinggalan sejarah yang ada di Terengganu kerana ia berpotensi menjana sumber ekonomi negeri melalui aktiviti pelancongan.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak boleh memandang remeh beberapa perkara yang dilihat kecil ketika ini kerana implikasinya hanya dirasai berpuluh tahun akan datang.

“Contohnya dahulu, kita ada perkampungan atas air di Pulau Redang sama seperti di Sabah dan Brunei.

“Namun, atas dasar pembangunan dan kemajuan, kita telah merobohkan perkampungan itu untuk pemindahan penduduk secara besar-besaran ke tanah daratan.

“Kini, kita lihat produk itu (perkampungan atas air) menjadi daya tarikan pelancong di tempat lain, sedangkan ia juga pernah wujud di Pulau Redang satu ketika dahulu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu lagi perkara seperti itu berulang kerana apa sahaja keunikan atau sejarah yang ada di Terengganu perlu dikekalkan kerana ia akan menjadi tarikan pelancong dengan nilai sentimental yang tinggi pada masa depan. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN