Kartel catu anak ayam untuk naikkan harga - Utusan Malaysia

Kartel catu anak ayam untuk naikkan harga

MENCATU bekalan anak ayam didakwa antara usaha kartel untuk mengawal bekalan ayam, sekaligus memaksa harganya dinaikkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan kartel masih ‘berusaha’ mencatu bekalan ayam di pasaran bagi mening­katkan harga bahan mentah itu sehingga RM11 sekilo­gram dengan cara mengawal pengeluaran anak ayam kepada penternak.

Jika tidak ada ‘halangan’ dalam tempoh beberapa minggu lagi, harga ayam akan mencapai seperti dimahukan kartel manakala pengguna akan merungut dengan masalah ayam mahal selain tiada bekalan.

Bagaimanapun, tinjauan di Pasar Chow Kit dan beberapa premis jualan di Setapak semalam mendapati harga ayam masih dijual sekitar RM8.50 hingga RM9 sekilogram iaitu masih di bawah harga siling RM9.40 sekilogram.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber dalaman industri berkata, sejak awal bulan lalu kartel menyekat kemasukan anak ayam secara berkala supaya harga ayam boleh naik.

Kata sumber, langkah itu sedang dilakukan bagi memastikan mereka tidak rugi sebaliknya meraih semula keuntungan se­perti sebelum ini apabila ayam naik mencecah RM11 sekilogram.

“Bekalan ayam kepada pembekal masih dicatu, anak ayam dikawal supaya harga kekal tinggi. Jadi pengeluaran ayam terhad dan permintaan akan terus me­ningkat kerana bekalan ‘tiada’ ini untuk memastikan harga boleh kekal tinggi serta kartel tidak akan rugi.

“Untuk pengetahuan awak (Utusan Malaysia), harga kontrak peladang sekarang RM5.90 sekilogram, ayam hidup sekarang pula RM6 sekilogram. Kalau ikutkan harga ini mereka tak ada untung.

“Mungkin dalam beberapa minggu lagi harga ladang pasti naik sehingga RM7 sekilogram, baru kartel akan untung. Tetapi akan jadi masalah pada peniaga di pasar pula kerana terikat dengan harga kawalan RM9.40 sekilogram,” katanya ketika dihubungi.

Peladang

Minggu lalu akhbar ini melaporkan, peladang di seluruh negara sedang mencatu semula bekalan ayam ke pasaran bagi meraih kembali ‘harga RM11 sekilogram’ seperti yang berlaku pada Mei lalu dengan alasan ternakan mengalami masalah tumbesaran.

Susulan itu, peningkatan harga ayam mula terasa di beberapa negeri seperti di Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan sejak dua minggu lalu apabila bahan mentah tersebut mula dijual sekitar RM8 sekilogram berbanding sebelum ini yang boleh dibeli dengan harga RM7 atau lebih murah hanya RM6 sekilogram.

Seorang peniaga ayam di Pasar Chow Kit di sini, Mohd. Ismail Hamidan, 58, berkata, peningkatan harga dari pembekal hanya berlaku pada pertengahan bulan Ogos iaitu sebanyak RM0.40 dan setakat ini belum ada peningkatan lagi.

Menurut Mohd. Ismail, sekiranya berlaku peningkatan peniaga-peniaga di sini cuba mengekalkan harga di bawah harga siling biarpun mendapat untung sedikit.
“Buat masa ni harga ayam di pasaran tidaklah membebankan kami, saya boleh kata ia masih terkawal.

Bagaimanapun, katanya, peniaga dan pengguna sangat berharap agar harga ayam tidak terus melonjak sehingga RM11 sekilogram sepertri beberapa bulan dahulu.

Rancangan

Sementara itu, Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng semasa dihubungi menafikan rancangan penternak sedang mencatu bekalan ayam.

“Siapa nak catu ayam? Ayam hidup kalau lagi lama kita simpan, ia semakin besar. Bila sudah besar kita tidak boleh jual dengan harga yang sepatutnya kerana ada harga siling ditetapkan oleh kerajaan,” jelas Jefrrey semasa dihubungi

Menurut beliau, masalah penternak enternak ketika ini berkaitan tumbesaran ayam yang terbantut atas beberapa faktor dan bukan disebabkan pencatuan bekalan bahan mentah tersebut.

“Ia bergantung kepada ayam itu sendiri, berapa besar saiznya. Ada yang naik satu hari sampai 100 gram tetapi ada juga hanya naik 50 gram. Sekiranya berat ayam itu mencecah 200 gram sehari iaitu lebih daripada saiz pasaran, kita kena jual lebih murah daripada harga pasaran.

“Jadi macam mana penternak mahu catu ayam? Saya sendiri pun tidak faham. Sekiranya mereka pandai tentang penternakan ni, panggil mereka ternak ayam baru tahu apa masalah dihadapi,” kata beliau.

Selain itu, kata Jeffrey lagi, ayam kini juga lambat membesar disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu sehingga menyebabkan haiwan tersebut tidak mahu makan.

“Ayam makan tetapi tidak membesar, apa penternak boleh buat? Kecuali kita doa banyak-banyak agar harap cuaca menjadi lebih baik kalau tidak ayam memang tak membesar. Takkan saya boleh paksa dia membesar?

“Ayam ini barang makanan yang hidup macam kita ternak ikan dan lembu. Kalau kita bagi makan, mereka makan tetapi tak membesar, apa kita boleh buat? Kami juga mahu ayam kami cepat membesar supaya dapat disalurkan kepada pasaran.

“Siapa nak simpan ayam? Siapa nak haiwan ternakan mereka tidak membesar? Tiada orang, itu adalah hakikat semula jadi,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN