PUTRAJAYA: Selepas lebih sedekad, Karnival Putrajaya kemungkinan besar bakal diadakan dengan lebih kerap sepanjang tahun untuk disambut seluruh anggota masyarakat Putrajaya.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang begitu teruja dengan sambutan hebat penduduk Putrajaya terhadap karnival ini.
“Insya-Allah, buat permulaan ia mungkin boleh diadakan dua kali setahun sebab kita dapat lihat sendiri kiri dan kanan saya penuh sesak sepanjang hari,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Putrajaya 2022 dan Kempen Bersih Setiap Tempat (Best) Putrajaya di Dataran Putrajaya di sini hari ini yang sudah pun berlangsung sejak semalam.
Program selama tiga hari itu dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan turut dihadiri Presidennya, Datuk Fadlun Mak Ujud dengan 55 aktiviti dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam.
Ia mendapat sokongan pelbagai agensi dan PPj turut ada menawarkan 300 cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik yang bernilai lebih RM100,000 kepada para pengunjung terpilih
Sementara Kempen Best pula merupakan program yang berterusan sejak Jun lalu dengan 14 aktiviti sehingga akhir tahun ini bagi memperkasakan lagi tahap kebersihan di seluruh Putrajaya.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, Karnival Putrajaya yang mula diperkenalkan sejak 2011 lalu itu asalnya bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada setiap 1 Februari.
“Bagaimanapun kita (Kementerian Wilayah Persekutuan) berhasrat ia sesuai dibuat dua kali setahun dengan kali kedua dianjurkan bersempena pula sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.
Penganjuran aktiviti berbentuk hiburan kekeluargaan itu ujar beliau, diharap akan dapat menarik juga penduduk luar untuk datang memeriahkan aktiviti dan menikmati panorama Putrajaya.
Beliau memberi contoh kejayaan acara Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya 2022 yang bermula pada 29 Ogos lepas dan kemudian ia dilanjutkan sehingga 11 September lalu.
Program tahunan yang sudah bermula sejak 2007 itu kata beliau, menerima sambutan amat luar biasa dengan kehadiran lebih sejuta pengunjung dari seluruh negara dan juga luar negara.
Justeru, beliau berpendapat, PPj sewajarnya mengadakan lebih banyak acara sedemikian yang dapat ‘menghidupkan’ lagi imej Putrajaya dengan pelbagai aktiviti santai untuk masyarakat. –UTUSAN