PETALING JAYA: Cara paling mudah untuk negara mendapatkan kapal perang dan kapal peronda baharu yang sudah siap bagi menggantikan aset-aset pertahanan yang sudah lama adalah dengan membuat perolehan dari negara luar.
Langkah itu dilihat lebih praktikal berbanding membina kapal sendiri yang dibimbangi hanya akan mengulangi tragedi enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang gagal disiapkan meskipun kerajaan sudah membayar lebih RM6 bilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr. Azmi Hassan bagaimanapun berkata, beberapa aspek pula perlu dipertimbang sebelum kerajaan bersedia berurusan dengan negara luar bagi perolehan aset-aset pertahanan negara yang baharu.
SPESIFIKASI
“Harga kapal pertahanan akan menjadi lebih mahal dan modul yang kita mahukan pula terkekang atau tidak bebas memilih spesifikasi seperti senjata api dan reka bentuk. Ini kerana negara luar sudah tetapkan apa yang mereka boleh jual.
“Perolehan kapal sudah siap dari negara luar mendedahkan kepada pihak lain mengetahui kelebihan dan kekurangan sistem pertahanan kita. Maksudnya, mereka boleh ‘analyze and counter’. Sebab itu pentingnya aset pertahanan dan sebolehnya kita buat sendiri. Tapi, kalau buat sendiri takut akan jadi macam LCS pula,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md. Ajis dilaporkan berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan kapal perang dan kapal peronda baharu bagi menggantikan aset berusia untuk mempertingkat keselamatan perairan negara.
Katanya, 75 peratus daripada 44 kapal milik pasukan sudah berusia 40 tahun malah ada yang melebihi 50 tahun dan kegagalan memperoleh kapal baharu dalam jumlah dikehendaki menuntut TLDM ‘mengitar semula’ atau memanjangkan hayat kapal sedia ada.
Mengulas lanjut, kata Azmi, negara tidak mempunyai wang mencukupi bagi menampung kos perolehan kapal pertahanan dibeli dari negara luar melainkan terdapat penambahan peruntukan untuk Kementerian Pertahanan.
“Mungkin satu hingga dua peratus daripada bajet Kementerian Pertahanan itu sudah sesuai, tetapi masalahnya kalau mahu ambil bahagian tambahan, maka kena ambil dana dari tempat (kementerian) lain.
“Kita tidak boleh ikut jejak langkah Singapura yang begitu mudah membeli apa sahaja dari negara luar sebab perbelanjaan pertahanan mereka sangat besar dan rakyatnya tidak pernah persoal sebarang pembelian aset mereka,” katanya.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini mendedahkan, tiada satu pun LCS milik TLDM disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus. – UTUSAN










