LIPIS: Keberanian seorang kanak-kanak berjaya menyelamatkan rakannya daripada diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bola sepak di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Landak di sini.
Kejadian pada 25 September lalu itu tular menerusi aplikasi WhatsApp tentang cubaan menculik seorang murid SK Jeram Landak di samping mengingatkan ibu bapa supaya berhati-hati dan memantau anak ketika pulang dari sekolah dan kelas al-Quran dan fardhu ain (KAFA).
Ketua Polis Daerah, Superitenden Azli Mohd. Noor berkata, polis mengesahkan kejadian itu berlaku pada 25 September lalu, pukul 7.15 petang yang turut ditularkan dalam media sosial Facebook dan WhatsApp.
“Ibu kepada kanak-kanak yang berjaya membantu rakannya daripada cubaan diculik membuat laporan polis pada 26 September lalu pukul 1.50 petang dan menceritakan kejadian tersebut.
“Kejadian berlaku berhampiran sekolah tersebut, dipercayai suspek memandu kereta Proton Wira berwarna merah dan tidak pasti nombor plat kenderaan, namun, dia (suspek) gagal untuk menculik murid berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, pengadu yang bernama Sazalina Abd. Malek memaklumkan kereta itu didakwa datang dari arah bertentangan dan memasang lampu besar, kemudian, terus berhenti dan cuba menarik pergelangan tangan kanak-kanak tersebut melalui tingkap kereta.
“Anak pengadu menolong menarik dan merentap tangan rakannya daripada cengkaman lelaki tersebut sehingga mereka berdua terjatuh ke dalam semak dan kemudiannya kereta itu terus memecut meninggalkan tempat tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Akta Kanun Keseksaan, iaitu menculik dari penjagaan yang sah dan perlu dibaca bersama Seksyen 511 Akta Kanun Keseksaan, iaitu cuba melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara,” katanya.
Selanjutnya, Azli menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan melaporkan segera jika ada sebarang maklumat atau individu yang mencurigakan berada di kawasan kejiranan.
Ujarnya, maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menerusi talian 09 3121999 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd. Husin Daud (011-65426136). –UTUSAN