Jangan buat spekulasi perbicaraan pendakwah terkenal -

Jangan buat spekulasi perbicaraan pendakwah terkenal

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING:  Masyarakat dinasihatkan tidak menangguk di air yang keruh dengan membuat spekulasi dalam perbicaraan gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Tanpa menyebut nama pendakwah yang dimaksudkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berharap orang ramai tidak mengulas kes perbicaraan  sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap mana-mana pihak.

“Kes ini adalah kes yang sedang dibicarakan dalam Mahkamah dan perlu untuk kita menghormati proses mahkamah dan biarkan pihak yang berautoriti melaksanakan tugasnya.

“Peganglah kepada pesan dan ajaran agama  yang digariskan mengikut kaedah fiqh menyebut ‘asal setiap sesuatu adalah tidak bertanggungjawab, tidak bersalah’.

“Dengan erti kata lain, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dijatuhkan hukuman yang membenarkan kes berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Idris, orang ramai diseru tidak menangguk di air yang keruh sehingga memberi mesej buruk terhadap nilai agama.

Katanya, ini kerana ramai lagi agamawan yang berusaha membawa mesej agama kepada masyarakat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

“Kita tetap tidak bersetuju dengan apa-apa perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang, apatah lagi perlakuan yang menceroboh kehormatan diri.

“Jika berlaku jenayah, ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dibawa ke muka pengadilan, tidak kira siapa pun, ini  untuk memberi pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Menurut Idris, semua pihak perlu bersatu padu dan bersatu hati untuk memberi kempen kesedaran kepada masyarakat daripada jenayah.

Katanya, menjadi tugas kita semua pihak untuk sama-sama melindungi masyarakat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Biarlah kebenaran itu dibawa ke saluran yang tepat dan kita terus menjadi rakyat dan umat Islam yang bertanggungjawab dalam apa jua situasi agar Allah menilai yang terbaik kepada usaha kita sebagai seorang Islam,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN