Harga getah: PUGBM cadang penyelesaian, situasi menang

Isu harga getah: PUGBM cadang penyelesaian situasi menang-menang

KAMERUZAMAN AB RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan dicadang menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram, namun, disaran untuk menambah lagi insentif sebanyak 25 sen sekilogram kepada pekebun kecil getah sekiranya mereka boleh menghasilkan pengeluaran melebihi 1.2 metrik tan per hektar, setahun.

Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab Rahman berkata, perkara tersebut antara perkara yang dicadangkan sebagai penyelesaian jangka panjang dan situasi menang-menang berikutan penurunan harga getah ketika ini.

Dalam pada itu, pihaknya juga mencadangkan supaya Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) pula diberikan mengikut kadar taburan hujan dalam setiap bulan. 

“Sekiranya di dalam sebulan, pekebun kecil hanya boleh menoreh getah kurang dari 15 hari, kerajaan disarankan mengaktifkan BMT bagi bulan tersebut. Ini adalah kerana dalam beberapa tahun kebelakangan, keadaan cuaca di negara ini sukar diramalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau sementara itu turut berpandangan, kesemua agensi kerajaan yang terlibat dalam industri getah perlu disatukan dalam satu kementerian supaya fokus dapat diberikan kepada pembangunan industri getah.

“Mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan getah yang sudah mula fokus kepada industri atau industri lain, hendaklah diserahkan kepada agensi atau kementerian yang berkaitan.

“PUGBM juga memohon supaya kerajaan mempertimbangkan penubuhan jawatan kuasa khas yang keahliannya terdiri daripada wakil agensi berkaitan getah, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan getah,” katanya lagi.

Kameruzaman dalam pada itu menambah, kerajaan juga perlu merintis ekosistem perniagaan industri getah asli yang memberi keuntungan kepada semua pihak.

Ini kerana, menurutnya, sistem yang ada tidak memberi kebaikan kepada pekebun kecil dan pelesen getah Lembaga Getah Malaysia (LGM) peringkat kecil,” katanya yang turut menuntut kerajaan memikirkan langkah dalam pengawalan terhadap getah asli import yang mengancam industri getah asli tempatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN