PETALING JAYA: Seekor harimau kumbang ditemukan dalam kawasan meletak kenderaan di sebuah rumah di Taman Pelangi Semenyih di sini petang tadi.
Harimau kumbang itu ditemukan pemilik rumah sebelum menghubungi pihak bomba kira-kira pukul 3.32 petang.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat seekor harimau kumbang di tempat meletak kenderaan pemanggil.
“Anggota bomba membantu membuat pengosongan ruang tersebut dengan memasang jaring khas sebelum Jabatan Perhilitan menjalankan kerja membidik ubat pelali,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, setelah memastikan tiada lagi punca-punca mendatangkan bahaya, tugas diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut. -UTUSAN