Hapuskan kuasa veto global - Utusan Malaysia

Hapuskan kuasa veto global

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan kenyataan Malaysia dalam bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung PBB Sesi Ke-77 di New York.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kepincangan tadbir urus global dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus mengheret konflik dan krisis yang berlaku di Ukraine, Palestin dan Myanmar kepada satu situasi yang tidak dapat diselesaikan.

Menegaskan perkara itu di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masalah paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan dan kuasa veto seringkali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya. 

Jelas Perdana Menteri, kuasa veto tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut.

“Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. 

“Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia,  PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan kenyataan Malaysia dalam Bahasa Melayu pada Sesi ke-77 perhimpunan antarabangsa itu bertemakan  ‘Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’ di New York, hari ini.

Ismail Sabri yang berbusana Melayu dan bersongkok ketika berucap turut menyuarakan gesaan Malaysia kepada Negara-Negara Anggota PBB untuk mewujudkan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa bagi membina sistem lebih efektif, adil serta mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat.

Dalam dunia yang saling terkait, kata beliau, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain, misalnya, dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, dasar monetari dan penetapan kadar faedah sesebuah negara turut memberi impak kepada negara-negara lain.

“Di sinilah kerjasama dan penyelarasan antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua.

“Dalam struktur kewangan dan monetari antarabangsa yang masih didominasi oleh beberapa kuasa besar, serta dalam keadaan pemulihan ekonomi dunia, keputusan dasar monetari domestik perlu diselaraskan dengan mengambil kira realiti serta keperluan negara-negara membangun,” katanya. 

Malaysia turut menyatakan kekecewaan berhubung situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa pada Februari 2021, Majlis Keselamatan tidak mengambil sebarang tindakan serius dalam menangani situasi ini, malah ada yang melihat Majlis Keselamatan lepas tangan dan menyerahkannya kepada ASEAN. 

Malaysia amat dukacita tiada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN terutamanya oleh pihak junta Myanmar dan dalam acuannya sekarang, ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN ini tidak boleh diteruskan lagi. 

“Justeru, kesepakatan ini perlu diberi nafas baharu dan diperhalusi berdasarkan rangka kerja, jangka masa dan matlamat akhir yang lebih jelas. Sesungguhnya, yang lebih penting ialah aspirasi rakyat Myanmar perlu dipenuhi,” katanya.  

Perdana Menteri berkata, krisis politik di Myanmar juga telah memburukkan lagi keadaan berjuta-juta pelarian Myanmar termasuklah pelarian etnik Rohingya. 

Walaupun Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia, atas dasar kemanusiaan, menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya.

Oleh demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua negara, termasuk negara peserta konvensyen turut mengambil lebih ramai pelarian bagi ditempatkan di negara masing-masing.  

“Pada masa sama, Malaysia amat menekankan peri pentingnya dunia menangani punca utama krisis Rohingya. Saya percaya bahawa isu ini tidak akan diselesaikan selagi krisis di negara tersebut berterusan,” kata Perdana Menteri yang turut membangkitkan peranan Malaysia dalam penyelesaian konflik seperti dalam proses damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sejak tahun 2001.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya