PUTRAJAYA: Hampir 20,000 calon yang layak, gagal melanjutkan pelajaran ke Universiti Awam (UA) ekoran tempat yang terhad.
Berdasarkan kepada keputusan yang diumumkan oleh Unit Pengambilan Universiti (UPU) pada 25 September lalu, walaupun calon-calon terbabit layak, namun disebabkan persaingan untuk mengisi tempat di UA sengit, maka nama mereka tercicir.
Untuk kemasukan kali ini, UPU menerima 115,477 permohonan daripada calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf.
Daripada jumlah itu sebanyak 90,745 calon layak dan melepasi syarat am, namun hanya 71,615 tempat yang disediakan di 20 UA bagi kemasukan sesi akademik 2022/2023.

Daripada jumlah keseluruhan permohonan itu, sebanyak 48,665 calon kategori STPM, matrikulasi, asasi, 2,964 Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 19,976 calon diploma atau setaraf.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar berkata, mereka yang gagal permohonan kali pertama boleh membuat rayuan yang dibuka sehingga 5 Oktober ini dan pemohon dibenarkan mengemukakan empat pilihan berbanding 12 pilihan yang diberikan kali pertama.
Menurut beliau, persaingan tinggi untuk 10 program kompetitif sekurang-kurangnya tiga kali ganda jumlah permohonan diterima berbanding penawaran tempat yang disediakan di UA.
PROGAM PERUBATAN
Sebagai contoh, Husaini berkata, bagi program perubatan, seramai 1,841 calon layak, namun 692 hanya ditawarkan tempat; program perakaunan (4,258 calon layak, 1,502 tempat) dan program undang-undang (1,660 calon layak, 541 tempat).
Beliau berkata, antara sebab gagal ialah tidak memenuhi syarat khas program pengajian, tiada kekosongan tempat terutamanya program kompetitif, gagal dalam saringan temu duga atau ujian selain kedudukan merit rendah.
“Namun, jika masih gagal di peringkat rayuan, jangan anggap tiada peluang belajar. Calon boleh membuat permohonan kemasukan terus ke universiti. Mereka juga ada pilihan masuk ke institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang turut ditawarkan biasiswa dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN).
“Rayuan ke Kolej Komuniti dan institut latihan kemahiran awam (ILKA) adalah melalui institusi tersebut dan bukan melalui UPUOnline. Hanya rayuan ke UA, politeknik sahaja melalui UPUOnline,” katanya dalam taklimat media di sini semalam.
Pada masa sama, Husaini berkata, pihaknya mempertimbangkan untuk memasukkan sebab kenapa pemohon gagal dalam sistem UPU Online akan datang berbanding ketika ini hanya menyatakan calon berjaya atau gagal.
KEGAGALAN
Langkah itu, katanya boleh memberi maklumat awal kepada calon berhubung punca kegagalan untuk mendapat tawaran sehingga memberi persepsi negatif terhadap sistem UPU Online itu sendiri.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan rungutan pelajar cemerlang menyalahkan sistem UPU yang didakwa tidak adil memilih calon daripada pelbagai peringkat termasuk lepasan asasi, matrikulasi, STPM dan diploma untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti awam.
Hal ini terdapat dalam kalangan mereka memperoleh keputusan cemerlang, sebaliknya gagal mendapat tempat di mana-mana IPTA.
Husaini berkata, Kementerian Pengajian Tinggi juga bersedia mengkaji keberkesanan pelaksanaan satu saluran peperiksaan ke universiti awam seperti dilakukan di negara-negara maju.
Bagaimanapun, kata beliau, tidak semua negara menggunakan satu sistem seperti A Level sebaliknya menggunakan program-program khas lain bagi kemasukan ke universiti.
BELAJAR
“Di Amerika Syarikat juga ada program khas dijalankan dengan Malaysia untuk memastikan pelajar di negara ini dapat belajar di sana tanpa melalui program asasi dan boleh mengikuti persediaan di sana.
“Kalau nak kata hanya guna sistem A Level sahaja boleh masuk, tidak boleh juga. Sistem di Malaysia seperti matrikulasi, asasi adalah boleh disetarafkan dengan A level seperti sistem kemasukan negara lain,” katanya.
Semalam, bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, Sistem A Level dipakai di negara-negara maju seperti di United Kingdom (UK) sebagai ukuran ke universiti berbeza di negara ini yang sarat dengan saluran seperti STPM, matrikulasi dan asasi serta SPM.
Melalui mekanisme pemilihan sekarang, risiko menyebabkan pelajar cemerlang terlepas pandang adalah tinggi.
Sementara itu, Husaini mengeaskan, tiada campur tangan dalam penggunaan sistem UPU Online atau wujudnya ‘orang dalam’ digunakan sebagai jalan pintas istimewa kepada pelajar tertentu untuk masuk ke UA..
Beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak ekoran kegagalan sejumlah pelajar cemerlang lepasan STPM atau setaraf mendapat tempat ke UA.
“Kalau nak kata dapat CGPA 3.75 pun tak dapat tempat, ia disebabkan kompetitif terlalu tinggi, sukar juga nak kata ada ‘kabel’ kerana dalam sistem kita memang ditawarkan berdasarkan sistem.
“Pihak UPU sebelum nak keluarkan tawaran kemasukan, semua naib canselor ‘berkampung’ empat hari untuk memastikan sistem kita tidak ada cacat cela yang menyebabkan kegagalan. Jadi saya menafikan perkara ini,” kata beliau.- UTUSAN










