ALOR SETAR: Polis memberkas dua lelaki berusia 38 dan 41 tahun dipercayai menjadi orang suruhan ah long siber untuk mengugut dan melakukan khianat terhadap peminjam wang yang gagal membayar hutang mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-dua suspek diberkas pada pukul 6.30 petang, Ahad lalu ketika berkeliaran di Taman Sri Tandop, di sini disyaki untuk melunaskan tugasan ah long berkenaan untuk mengugut mangsa.
“Kedua-dua suspek mengaku melakukan kegiatan ini sejak Ogos sehingga kini, kejadian dilakukan sekitar Alor Setar, Kubang Pasu dan Pendang di mana kita sudah menerima 20 laporan berkaitan kegiatan mereka.
“Suspek juga adalah peminjam kepada ah long siber ini dan oleh kerana gagal bayar semula, ini kaedah untuk mereka membayar balik. Mereka ditawarkan pekerjaan dengan upah mengikut pakej seperti RM350 untuk baling cat, RM150 (merantai pagar) dan RM50 (menampal notis ugutan),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini.
Ahmad Shukri berkata, suspek mendakwa terpaksa melakukan kerja itu untuk melangsaikan hutang mereka dan ketika ditahan, polis menemukan pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk mengugut dan melakukan khianat ke atas mangsa termasuk cat dan rantai besi.
Katanya, suspek hanya berurusan dengan sindiket utama ah long melalui aplikasi WhatsApp sahaja selain tidak pernah bersemuka ketika melakukan tugasan itu.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-duanya positif Methamphetamine dan mereka kini direman selama empat hari bermula semalam,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 bagi menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen, Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi perbuatan khianat dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk kesalahan dadah.
Beliau pada masa yang sama menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan taktik ah long siber berkenaan yang aktif menawarkan pinjaman melalui media sosial termasuk Facebook.
“Ah long siber adalah ah long yang menawarkan pinjaman di media sosial dengan niat melakukan pemerasan dan ugutan. Peminjam perlu mengisi maklumat pada pautan yang diberikan sebelum pinjaman akan diluluskan seberapa segera.
“Sejumlah 50 peratus wang yang hendak dipinjam akan dipindahkan ke dalam akaun bank mangsa sama ada mangsa setuju atau tidak, peminjam dipaksa membuat bayaran lebih empat kali ganda dan jika gagal ah long siber akan mengupah orang untuk menampal notis ugutan, merantai pagar atau membaling cat,” katanya. –UTUSAN