Felcra bina Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu

Felcra bina Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu

Felcra Berhad bakal membina sebuah Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu yang menggunakan sistem tertutup di Kampung Kubang Palas, Padang Terap, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP – Felcra Berhad bakal membina sebuah Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu bernilai RM20 juta di daerah ini yang dijadual beroperasi pada Oktober 2023. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek ternakan ayam dengan sistem tertutup itu akan dilaksanakan di Kampung Kubang Palas, dekat sini. 

“Pembinaan kompleks ternakan ayam ini merupakan strategi serampang dua mata yang tidak hanya memfokuskan kepada penjanaan ekonomi setempat, malah membantu menjamin keselamatan bekalan makanan negara. 

“Projek ini juga merupakan inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik di kawasan luar bandar, yang akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan selain menjana rantaian ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar selepas program lawatan tapak dan taklimat projek tersebut di Kampung Kubang Palas di sini, hari ini. 

Kompleks tersebut merupakan yang kedua diusahakan Felcra selepas kompleks ternakan ayam bersepadu pertama di Kampung Tanjung Seratus, Rompin, Pahang. 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Mohammad Munir Zakaria, Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Datuk Seri Ghazali Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria. 

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, kompleks ternakan ayam itu akan dibina atas tanah berkeluasan 10 hektar dan mampu mengeluarkan 250 ribu ekor ayam bagi satu pusingan. 

“Saya difahamkan, akan ada lima pusingan setahun ternakan ayam di situ. Itu bermakna, sebanyak 1.5 juta ekor ayam akan dikeluarkan dalam tempoh setahun di sini nanti,” katanya.  

Dalam pada itu Mahdzir berkata, projek ternakan ayam tersebut dijangka turut memberi ruang kepada usahawan bimbingan Felcra untuk terlibat aktif dalam rangkaian pengeluaran dan pembekalan ayam. 

“Ini sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya