Esok PRU15 pun kami sedia -Asyraf Wajdi - Utusan Malaysia

Esok PRU15 pun kami sedia -Asyraf Wajdi

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) sedia untuk gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipalu bagi melangkah ke medan perjuangan tersebut.

Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pergerakan itu akan memastikan mereka akan terus bersedia untuk bila-bila masa sahaja Parlimen dibubarkan.

Menurut beliau, tiada zaman pemuda BN sebelum ini yang boleh dibandingkan dengan generasi pemuda BN kini kerana kita sudah merasa menjadi pembangkang.

“Sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob nak isytihar bubar, esok pun kami sedia. Kita sudah melalui proses ini selama empat tahun lebih, motivasi dan semangat kami sudah sampai ke tahap maksimum.

“Saya bersama pemimpin-pemimpin parti turun ke 191 bahagian dan melihat sendiri kesiapsiagaan di semua bahagian itu. Saya boleh kata pemuda BN sudah bersedia untuk menghadapi PRU15,” katanya dalam menyampaikan amanat semasa majlis pelancaran jentera pemuda BN di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut menegaskan bahawa kejatuhan Pakatan Harapan (PH) selepas menjadi kerajaan selama 22 bulan bukan disebabkan BN, tetapi disebabkan ‘duri dalam daging’ sendiri.

“Kena ingat, semua pencacai-pencacai di luar sana yang kononnya mendakwa kita bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan PH. Betul, Pemuda BN memainkan peranan mendesak itu dan ini tetapi kena ingat balik yang menjatuhkan mereka adalah mereka sendiri.

“Dasar DNA pengkhianat, lari daripada kita masuk kesana mengkhianat juga. Kalau ikutkan kita mempunyai pendirian jelas, kita mahukan PRU15 dan sepakat mahu pulangkan mandat kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN