KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) masih dalam proses perbincangan untuk mengagihkan power bank kepada penduduk di kawasan risiko banjir sebagai persediaan bencana itu yang dijangka melanda hujung tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kerajaan kini komited untuk membantu rakyat dengan memastikan setiap rakyat yang terjejas banjir menerima bantuan termasuk kemudahan komunikasi.
“Apabila rakyat bercakap mengenai ketidakstabilan internet ketika banjir, sebenarnya isu ini berkait rapat dengan tenaga elektrik. Ketika itu, telefon bimbit tidak boleh dipakailah. Jadi, kementerian memulakan perbincangan untuk membekalkan power bank sedikit.
“Sementara rakyat dapat tempat untuk cas telefon, mereka ada power bank untuk kekalkan tenaga telefon mereka, terutama dalam keadaan kecemasan seperti itu.
“Kita lihat juga penyelesaian sekiranya rangkaian terganggu. Kita bincangkan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Setakat ini, kita mengalu-alukan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk bersama-sama kerajaan bagi menjayakan usaha ini.
Zahidi berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Program Usaha Sama Teknologi 4G dan 5G yang melibatkan tiga buah syarikat swasta di Hotel Four Season di sini hari ini.
Disember tahun lalu, rangkaian internet terputus di kebanyakan kawasan yang terjejas akibat banjir.
Rakyat terkandas, malah, tidak dapat menghubungi pihak penyelamat kerana kegagalan rangkaian jalur lebar untuk berfungsi seperti biasa. –UTUSAN