DNA waris mangsa runtuhan batu kuari diambil - Utusan Malaysia

DNA waris mangsa runtuhan batu kuari diambil

MOHD. Yusri Hassan Basri (kiri) berbual dengan warden asrama pada program #katakan tidak kepada buli di SMK Anderson di Ipoh hari ini.- UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris seorang daripada mangsa runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai di sini Mac lalu, sudah diambil bagi proses pengesahan identiti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihak hospital mengambil sampel darah waris terdekat mangsa, Itam Lasoh, 43, untuk dipadankan dengan DNA lelaki itu.

Katanya, sampel DNA waris seorang lagi mangsa iaitu Kheow Loo Siew Soon, 49, belum diperoleh berikutan keluarganya berada di luar negara.

“Kita akan tunggu sampel ini diberikan keluarga masing-masing untuk kita padankan. Kedua-dua sampel ini akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis,” katanya ketika ditemui selepas program #katakan tidak kepada buli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi, dua pekerja kuari, Itam dan Loo Siew Soon dilaporkan hilang selepas dipercayai tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini.

Kejadian itu turut mengakibatkan seorang lagi mangsa berusia 35 tahun mengalami patah tulang kaki manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa digerakkan dengan penglibatan pelbagai agensi penyelamat namun gagal mengesan kedudukan tepat mereka yang tertimbus bersama dua jengkaut.

Bagaimanapun, pencarian selama enam bulan itu berakhir Selasa lalu berikutan penemuan cebisan rangka tulang dipercayai milik kedua-dua mangsa dan dua bangkai jengkaut.

Kesemua penemuan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tujuan bedah siasat dan ujian DNA bagi pengesahan identiti mangsa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya