Di mana wakil rakyat pembangkang di kawasan dilanda banjir?

Di mana wakil rakyat pembangkang di kawasan dilanda banjir? – Onn Hafiz

ONN HAFIZ GHAZI melawat mangsa banjir di PPS di Batu Pahat dan Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menempelak sesetengah ahli Parlimen pembangkang yang tidak turun ke kawasan mereka yang dilanda banjir kilat baru-baru ini.

Onn Hafiz menerusi catatan dalam Facebooknya, mendakwa tidak nampak kelibat ahli Parlimen di beberapa kawasan terjejas terutamanya di Parlimen Iskandar Puteri, Pulai dan Sri Gading.

“Sehari dua ini, banjir juga berlaku di Parlimen Iskandar Puteri, Pulai dan Sri Gading, namun, kelibat ahli Parlimen di kawasan-kawasan ini langsung tidak dirasai.

“Oleh itu, mungkin tidak menjadi masalah untuk PH (Pakatan Harapan) dan pembangkang lain jika diadakan PRU semasa musim banjir.

“Mereka bukannya turun ke kawasan pun walaupun berlaku banjir. Biasanya masa kempen pilihan raya umum (PRU) barulah mereka akan menjelma,” katanya dengan nada sinis.

Parlimen Pulai diwakili Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah) yang juga Pengerusi PH Johor, manakala Parlimen Iskandar diwakili Lim Kit Siang (DAP) dan Sri Gading diwakili, Datuk Dr. Sharuddin Mat Salleh (Pejuang).

Semalam, Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mencabar pemimpin UMNO Johor menyatakan pendirian agar PRU15 tidak diadakan ketika musim tengkujuh susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu dilaporkan mahu pemimpin UMNO seperti Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan menyuarakan perkara itu kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak mendesak PRU15 disegerakan.

Ahad lalu, hujan lebat dan fenomena air pasang yang berlaku menyebabkan beberapa lokasi di bandar raya Johor Bahru ditenggelami air.

Beberapa kawasan di Pontian, Batu Pahat dan Muar pula menyaksikan hampir 200 penduduknya dipindahkan ke pusat Pemindahan Sementara (PPS) ekoran banjir kilat.

Semalam, Onn Hafiz melawat mangsa banjir di beberapa PPS di sekitar Batu Pahat dan Pontian.

“Kerajaan negeri meluluskan RM300,000 dengan segera bagi membina jalan alternatif Kampung Parit Baru, Mukim Sri Gading. 

“Semoga keadaan akan kembali pulih secepat mungkin dan kesemua mangsa dapat pulang ke rumah dengan selamat. Semoga tabah menghadapi ujian ini,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya