JERAI: Dewan Ulama Pas berpandangan undang-undang berkaitan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu diperkasakan dalam usaha memelihara akidah umat Islam di negara ini.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, kerajaan perlu bersikap peka terhadap ancaman pendukung ideologi LGBT yang sedang meresap masuk ke rantau ini.
“Di samping itu, kita juga perlu berhadapan dengan realiti yang getir untuk mempertahankan negara daripada usaha ‘menghalalkan’ LGBT susulan pengumuman untuk menerima LGBT oleh negara dari rantau yang sama.
“Sistem perundangan semasa yang meletakkan amalan LGBT sebagai suatu kesalahan jenayah telah termaktub dalam Seksyen 377 Kanun Keseksaan. Begitu juga pelbagai peruntukan enakmen negeri yang perlu terus diperkasa bagi melindungi ancaman LGBT kepada keutuhan bermasyarakat dalam negara,” katanya ketika memberi ucaptama dalam Muktamar Dewan Ulama Pas di Guar Chempedak di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya juga menggesa supaya penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara serius khususnya menanggapi proses sexual grooming melalui media-media sosial.
“Kerajaan perlu menambah baik dasar sosial di bawah Pelan Tindakan Sosial Islam 2019-2025 bagi terus mengekang budaya songsang ini daripada terus menular dalam negara. Pelan tindakan ini perlu ditambahbaik sejajar dengan perkembangan semasa bagi memastikan setiap ruang-ruang halus penyerapan masuk agenda LGBT dapat segera ditutup.
“Perkara ini termasuklah melalui rancangan-rancangan kartun kanak-kanak serta penstriman langsung seperti Netflix. Peranan Lembaga Penapisan Filem (LPF) perlu lebih tegas dalam menghalang usaha normalisasi unsur LGBT melalui karya-karya perfileman yang masuk ke dalam negara,” katanya.
Jelasnya, penganjuran konsert yang menampilkan artis-artis Barat juga bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran di negara.
“Apatah lagi dalam keadaan negara baharu sahaja menempuh tempoh pemulihan pasca pandemik yang perlu ditanggapi dengan rasa penuh insaf.
“Sewajarnya penglibatan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) diberikan suara yang kuat untuk didengari oleh pihak jawatankuasa. Malangnya, penglibatan Jakim seolah-olah sekadar cukup syarat,” jelasnya. – UTUSAN











