DAP Parlimen Parit paling ramai ahli Melayu - Utusan Malaysia

DAP Parlimen Parit paling ramai ahli Melayu

NGA Kor Ming (kanan) pada pelancaran DAP Parlimen Parit di Seri Iskandar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: DAP Perak melancarkan penubuhan cawangannya di Parlimen Parit di sini hari ini dan mencatat rekod sebagai cawangan DAP paling ramai ahli Melayu di Perak.

Calon Amanah yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Tarmizi Mohd. Jam dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja cawangan itu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, setakat ini sebanyak 313 permohonan untuk menjadi ahli cawangan itu telah diterima.

Menurutnya, penubuhan DAP di Parlimen Parit merupakan satu sejarah kerana Parit merupakan kawasan hampir seratus peratus orang Melayu.

“Suatu ketika dahulu, tiada ada orang pernah terbayang akan tertubuhnya DAP di kawasan yang hampir seratus peratus Melayu di Parit ini.

“Tetapi hari ini, DAP akan menubuhkan cawangannya di Parit dan cawangan ini adalah cawangan DAP Melayu terbesar di Perak dan diketuai oleh orang Melayu.

“DAP memang mempunyai cawangan Melayu di tempat lain tetapi di Parlimen Parit ini merupakan satu sejarah kerana ini kawasan Melayu.

“Ini merupakan  satu perkembangan positif yang membawa hala tuju baharu negara kita,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan penubuhan DAP Parlimen Parit di Seri Iskandar dekat sini hari ini.

Turut hadir Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari dan  Tarmizi.

Kor Ming berkata, penubuhan DAP Parit  itu sudah semestinya memperkuatkan  dan mencerahkan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk menang di Parlimen Parit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ditanya sama ada DAP akan bertanding di Parlimen Parit pada PRU15, Kor Ming berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Majlis Presiden PH.

“Tapi di peringkat negeri, kami akan cuba ajukan proses rundingan supaya jika boleh diberikan peluang untuk  DAP bertanding di salah satu DUN dalam Parlimen Parit  sama ada DUN Bota atau Belanja.

“Tapi kita hormat keputusan Majlis Presiden PH dan kita akan buat mengikut saluran PH,” katanya.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, parti itu juga akan menubuhkan  satu lagi cawangan DAP Melayu iaitu di Kampung Bahagia di Teluk Intan.

“Penubuhan cawangan DAP di Kampung Bahagia di Teluk Intan sedang dalam proses.

“DAP cawangan Kampung Bahagia semua ahlinya orang Melayu, macam cawangan Parlimen Parit ini,” katanya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya