Culik: Ibu bapa jangan leka tengok gajet ketika di tempat awam - Utusan Malaysia

Culik: Ibu bapa jangan leka tengok gajet ketika di tempat awam

Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) meminta ibu bapa  tidak lalai dengan gajet sehingga mengabaikan anak-anak yang berada di tempat awam.

Presidennya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, kelekaan tersebut membuka ruang kepada penjenayah mengambil kesempatan melakukan jenayah  terhadap anak-anak.

“Saya berpandangan kes penculikan yang sering dikaitkan dengan kanak-kanak ketika ini berpunca daripada sikap ibu bapa itu sendiri.

“Apabila berada di tempat awam ataupun tempat tumpuan ramai, saya lihat ibu bapa leka dan lalai dengan gajet tanpa memberi tumpuan terhadap anak-anak. 

“Mata dan tumpuan hanya kepada gajet dan telefon pintar tanpa memantau pergerakan anak-anak sehingga ibu bapa lambat sedar jika anak hilang ataupun tidak berada di sisi mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular beberapa WhatsApp berantai yang memberi peringatan tentang kejadian culik pelajar sekolah di beberapa negeri.

Sebanyak lima kes cubaan culik melibatkan pelajar sekolah dilaporkan antara 22 September hingga kelmarin di Pahang, Kelantan dan Perak dengan empat daripadanya disahkan palsu.

Mengulas lanjut, Zuhairi berharap ibu bapa mengubah sikap dan memberikan keutamaan kepada anak-anak ketika berada di lokasi tumpuan ramai bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa culik. 

Dalam pada itu, beliau berharap pihak polis meningkatkan rondaan dan pemantauan di sekolah-sekolah serta kawasan tumpuan bagi ‘meredakan’ kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak berhubung dakwaan culik ketika ini. 

“Dakwaan kes ini (culik) bagi Peka ia semakin membimbangkan. Jadi, ia perlu pemantauan dan rondaan oleh pihak polis bagi memastikan ia tidak menular dengan  kanak-kanak menjadi mangsa,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya