Cubaan seludup rokok RM750,000 guna bot dipatahkan APMM -

Cubaan seludup rokok RM750,000 guna bot dipatahkan APMM

SIVA Kumar (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas APMM di perairan Tanjung Sepat semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan menyeludup masuk rokok bernilai lebih RM750,000 dari Indonesia berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di pesisiran pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, dekat sini, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 6 pagi itu membawa kepada rampasan sebanyak 84,700 kotak rokok yang merupakan terbesar melibatkan perairan Selangor setakat ini.

Pengarah Maritim negeri, Kepten V. Siva Kumar berkata, kejayaan itu hasil pengesanan radar Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) mengenai sebuah bot mencurigakan menuju ke Perairan Tanjung Gabang.

Kata beliau, bot berkelajuan 70 knot itu dipercayai dari Pulau Rupat, Indonesia yang jaraknya kira-kira sejam memasuki perairan negara.

“Menerusi Op Contraband Mind, bot Petir 83 kemudian diatur gerak ke lokasi dan mengesan bot penyeludup yang mempunyai enam enjin atau 1,200 kuasa kuda itu.

“Menyedari kehadiran APMM, bot dipercayai dinaiki empat individu cuba melarikan diri sebelum dikejar hampir 25 minit dan meloloskan diri,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, petang tadi.

Jelas Siva Kumar, hasil maklumat dan risikan mendapati bot itu baru selesai menurunkan rokok seludup di persisiran pantai tersebut.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan dua lori berisi muatan rokok yang keseluruhannya dianggarkan RM750,000 tidak termasuk cukai.

“Namun, pemandu lori disyaki telah melarikan diri sejurus menyedari kehadiran APMM di lokasi pendaratan,” jelasnya.

Beliau berkata, rokok itu dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum dijual bawah harga pasaran bagi menarik perokok tempatan.

“Lokasi pendaratan itu antara lokasi yang kerap digunakan penyeludup dan turut mempunyai hubungan dengan dalang tempatan.

“Namun, kita masih mengenal pasti sindiket yang terlibat dalam kegiatan itu,” katanya.

Tambah Siva Kumar, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya