KUALA SELANGOR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan dua skim pembiayaan baharu bagi membantu usahawan profesional dan perniagaan koperasi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Pembiayaan menerusi Bank Rakyat itu melibatkan peruntukan berjumlah RM40 juta bagi BR ProNiaga dan BRKOP Lestari
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi skim BR ProNiaga bagi golongan meliputi usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).
“Walaupun sempadan negara sudah dibuka dan negara melalui fasa endemik, masih ada usahawan profesional yang memerlukan bantuan.
“Pembiayaan baharu itu menawarkan pinjaman perniagaan bermula RM10,000 hingga RM50,000 dan boleh mencecah RM100,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 66 bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan cawangan Bank Rakyat Tanjong Karang di sini, petang semalam.
Jelas Noh, skim BR KOP Lestari pula melibatkan dana peruntukan berjumlah RM30 juta.
“Skim itu membantu melestarikan perniagaan koperasi dari sektor pendidikan antaranya sekolah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG) serta masjid.
“Sektor itu juga antara yang terjejas akibat Covid-19 selain berdepan pelbagai kekangan meneruskan perniagaan dalam fasa endemik,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 25 IPG dan 20 IPTA sudah menubuhkan koperasi setakat ini.
“Penekanan kedua-dua koperasi berkenaan bertujuan menanam budaya dan semangat keusahawanan di peringkat institusi pendidikan.
“Koperasi masjid pula berperanan menjadi tempat penyatuan ummah selain menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya.
Tambah Noh, usahawan profesional dan koperasi yang berminat boleh memohon pembiayaan itu di cawangan Bank Rakyat terdekat.-UTUSAN