Bot karam: Lelaki dilaporkan hilang dijumpai lemas -

Bot karam: Lelaki dilaporkan hilang dijumpai lemas

ANGGOTA bomba mengangkat mayat nelayan yang ditemukan lemas di Sungai Bernam, Bagan Lipas di Hutan Melintang hari ini. - UTUSAN/JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang apabila bot nelayan dinaikinya karam di Sungai Bernam, Bagan Lipas dekat Hutan Melintang pada awal pagi semalam, dijumpai lemas hari ini.

Mayat mangsa, Loo See Yong, 57, ditemukan terapung oleh nelayan pada pukul 11.45 pagi.

Ketua Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, A. Ravi berkata, mayat mangsa dijumpai bot nelayan dalam keadaan terapung sebelum menghubungi pasukan penyelamat.

Katanya, mangsa dijumpai pada jarak satu batu nautika berhampiran perairan sempadan Selangor.

“Pasukan penyelamat segera ke lokasi mangsa dijumpai dan membantu mengangkat mayat lelaki itu untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak bomba menerima maklumat kejadian itu pada pukul 11.55 malam, semalam.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, nelayan tempatan itu terjun ke dalam laut bersama dua rakannya selepas bot dinaiki mereka mulai tenggelam.

“Sebuah bot nelayan lain yang berada berhampiran kawasan kejadian sempat menyelamatkan dua rakan mangsa yang merupakan lelaki warga Indonesia manakala mangsa pula gagal dikesan.

“Mangsa dipercayai terjatuh pada jarak satu batu nautika dari muara Sungai Bernam,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat lelaki itu melibatkan 31 pegawai dan anggota daripada bomba, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya