PASIR PUTEH: Isteri kepada mangsa bot karam di perairan Pulau Redang, Terengganu mahu menggunakan wang pengurusan jenazah dan pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) milik suami untuk kegunaan badal haji pada tahun hadapan.
Rosainy Mohd. Zin, 47, yang merupakan Pembantu Tadbir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sepulau berkata, wang tersebut juga untuk kerja-kerja kebajikan bagi pihak arwah suaminya Raja Zainuddin Raja Ibrahim.
“Selain itu, wang pencen penakat serta Faedah Orang Tanggungan (FOT) akan digunakan untuk pengurusan keluarga serta keperluan tiga anak yang berusia 10 hingga 15 tahun. Arwah dahulunya bekerja sebagai pemandu bas ekspres kemudiannya berhenti semata-mata untuk bersama keluarga.
“Selain itu, arwah berjemaah di surau berdekatan rumah, pada masa yang sama, dia gemar turun ke laut sekadar memenuhi minatnya untuk menangkap dan memancing ikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Perkeso di Perumahan Taman Jaya, Cherang Ruku, di sini yang disempurnakan oleh Pengarahnya Nor Yaakob hari ini.
Sementara itu, Hazida Fouzi, 44, memberitahu dia mahu menggunakan wang pengurusan jenazah dan pencen penakat Perkeso tersebut untuk simpanan dan sebahagian digunakan untuk badal haji suaminya Mohd. Nazri Bin Abu Bakar.
Katanya, wang tersebut juga akan digunakan untuk perbelanjaan sekolah dua anaknya yang masih bersekolah.
“Saya tidak bekerja dan kehilangan suami yang menjadi tunggak ekonomi keluarga amat dirasai. Bagaimanapun saya gembira apabila dua anak berusia 18 dan 22 tahun turut membantu mengukuhkan kewangan keluarga.
“Manfaat faedah ini diterima kerana arwah suami mencarum dengan Perkeso ketika bekerja sebagai pemandu lori salah sebuah syarikat barangan lusuh berhampiran rumah,” ujarnya. –UTUSAN