PETALING JAYA: Kerajaan meminta orang ramai menyalurkan maklumat dan membuat aduan jika mengetahui ada pihak cuba mencatu bekalan ayam dalam usaha menaikkan harga melebihi harga siling RM9.40 sekilogram.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bantuan daripada orang awam itu akan memudahkan kerajaan bertindak.
Katanya, ini termasuk mendedahkan maklumat terperinci terhadap ‘kartel ayam’ yang didakwa mencatu bekalan ayam bagi meningkatkan harga mentah ke paras RM11.
Menurutnya, ‘cakap-cakap’ bahawa ada usaha mencatu bekalan ayam dan meningkatkan harga di pasaran tanpa membuat aduan lengkap kepada pihak kementerian tidak akan membantu pihaknya bertindak dengan lebih cepat.
“Kalau sesiapa yang ada maklumat dan maklumat tersebut diyakini, maka tampillah membantu kerajaan supaya kita semua dapat bersama-sama menyelesaikan dan membendung isu yang sudah lama berlaku ini.
“Kalau orang awam tidak tampil dan isu ini terus diungkit sehingga mencetuskan sensasi, maka situasi di pihak kementerian pula bertambah sukar. Kami mahu tahu dan lakukan sebaik yang kami mampu,” katanya semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, kumpulan kartel masih berusaha mencatu bekalan ayam di pasaran bagi memaksa harga bahan mentah itu naik sehingga RM11 sekilogram dengan mengawal pengeluaran anak ayam kepada penternak.
Alexander berkata, pihaknya juga sudah berbincang dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mempunyai bidang kuasa berhubung kepentingan sektor perniagaan dan pengguna.
“Selagi MyCC tidak membuat pengumuman kepada awam dan sebagainya, kami tidak membuat kenyataan rasmi yang mungkin bercanggah dengan prosedur suruhanjaya,” katanya.
Katanya, kementerian juga sentiasa menyemak sebarang kegiatan yang didakwa terlibat dalam aktiviti dan pencatutan harga selaras Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011. – UTUSAN










