PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum (PRU15) pada musim tengkujuh tidak seharusnya dilakukan sebaliknya semua parti politik kerajaan dan pembangkang seharusnya bekerjasama bagi menghadapi masalah banjir.
Ini susulan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kesediaan jenteranya meredah banjir jika PRU-15 terpaksa diadakan pada musim tengkujuh.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, ini bukan masanya untuk PRU-15 diadakan, malah, semua parti politik kerajaan dan pembangkang perlu bersepadu serta perlu fokus mencari penyelesaian dalam memastikan persediaan menghadapi banjir dapat dirancang rapi.
“Bukannya sama-sama turun pancing undi. Ini soal hidup mati bukan main politik.
“Kami (Muda) tak minta undi kami atau Pakatan Harapan, namun, biarkan habis tengkujuh, kemudian kamu lawanlah (pilihan raya) puas- puas,” katanya dalam protes ‘Nyawa Dulu Baru PRU’ di hadapan Sogo di sini hari ini.
Jelas Syed Saddiq, ada lagi mangsa banjir pada tahun lalu masih trauma serta tidak terbela nasib mereka.
“Orang tak terlatih pun gadai nyawa nak selamatkan mangsa terperangkap. Kalau nak PRU bagaimana nak bela rakyat,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 50 orang dianggarkan mengadakan protes bagi mendesak kerajaan menangguhkan PRU-15 ketika musim banjir.
Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noordellhan Yahaya dilaporkan, pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman mengikut peruntukan undang-undang berkaitan himpunan tersebut. –UTUSAN