MELAKA: Kerajaan Pusat diminta mempercepatkan proses permohonan negeri-negeri khususnya bagi kerja menaik taraf jalan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, banjir yang berlaku di negeri ini berpunca daripada pelbagai faktor seperti saiz saliran bawah jalan yang terlalu kecil dan pembetung yang perlu digantikan dengan jambatan.
Kata beliau, meskipun kerajaan negeri mengenal pasti masalah banjir contohnya di Ramuan China, tetapi, perkara itu harus mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu.
“Kita minta supaya permohonan ini disegerakan. Saya bimbang jika lambat melaksanakannnya, maka isu banjir akan berlaku kembali.
“Sedangkan isu ini kita telah kenal pasti, cuma itu (naik taraf) di bawah kerajaan Pusat kerana melibatkan jalan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Penerbangan Pertama Pesawat Batik Air ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam sini, semalam.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, Melaka sudah bersedia menghadapi banjir sejak dari awal tahun ini menerusi pelbagai program dan projek mitigasi.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Banjir negeri yang dipengerusikan beliau dan pelbagai agensi lain telah 90 peratus selesai bagi mengenal pasti lokasi kerap berlaku bencana itu.
“Sistem amaran awal banjir yang memberi peringatan paras air juga 70 peratus siap dan hanya menunggu untuk melaksanakan ujian percubaan. Saya akan pastikan ujian ini selesai penghujung bulan ini.
“Selain itu, kerja mendalam dan melebarkan sungai di bawah Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) juga giat dilakukan di lokasi seperti Sungai Duyong. Usaha ini didapati berkesan apabila air berjaya dialirkan dengan sempurna ketika hujan lebat,” ujarnya. –UTUSAN